PETALING JAYA, 25 Jan: Walaupun terjejas teruk akibat wabak Covid-19 yang melumpuhkan sektor perlancongan, lebih 2,000 pengusaha hotel bajet tidak menyerah kalah.

Mereka tampil menawarkan hotel kos murah sebagai pusat kuarantin pesakit Covid-19 bergejala ringan dengan harapan langkah itu boleh membantu memulihkan perniagaan di samping memerangi wabak itu sendiri.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha), Emmy Suraya Hussein mahu kerajaan menimbangkan penggunaan 2,300 hotel bajet sebagai pusat kuarantin pada kadar kos yang mampu ditanggung oleh pesakit terbabit.

Beliau berkata langkah itu akan membolehkan pemantauan dan pengawasan lebih berkesan terhadap pesakit Covid-19 dan pada masa sama membantu pengusaha hotel bajet ‘mencari makan’ dalam persekitaran yang mencabar.

“Ia secara tidak langsung akan membantu industri hotel yang terjejas akibat penularan Covid-19 susulan pengurangan pelanggan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata sudah ada hotel bajet tertentu yang diwartakan sebagai pusat kuarantin bagi pelawat atau warga tempatan yang pulang dari luar negara dan pihaknya bersedia untuk membantu memperluaskan khidmat itu.

Emmy berkata, Mybha bersedia mengenakan kadar sewa dan caj lain yang rendah untuk pesakit Covid-19 dalam usaha membantu kerajaan mengekang penularan wabak itu.

“Kita tidak akan mengenakan caj yang mahal, harga yang kita akan tawar adalah berpatutan. Kalau termasuk makan dan minum kita boleh tawar RM100 atau RM110 sehari,” katanya.

Beliau berkata, jika diisytiharkan sebagai “hotel kuarantin”, pihaknya hanya akan membenarkan setiap bilik diduduki seorang pesakit dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Berkuat kuasa 24 Julai tahun lalu, kerajaan mewajibkan kuarantin ke atas warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di institut latihan awam atau hotel.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, pesakit Covid-19 tahap 1 dan 2 akan menjalani kuarantin di rumah, dengan pemantauan ketat oleh petugas kesihatan berkuatkuasa 1 Jan lalu.

Bagaimanapun langkah membenarkan pesakit Covid-19 menjalani kuarantin di rumah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat mengenai aspek keselamatan ahli keluarga lain.

Emmy berkata, hotel bajet boleh dipertimbangkan sebagai alternatif kepada rumah untuk pesakit Covid-19 bergejala.

Katanya, Kementerian Pelancongan telah mendapat maklum balas pihak kesatuan mengenai kesediaan pengusaha hotel bajet menjadikan premis mereka sebagai pusat kuarantin Covid-19.

Bagaimanapun katanya, belum ada keputusan muktamad hasil perbincangan itu.

Terdahulu, Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid mencadangkan hotel milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dijadikan pusat kuarantin bagi menampung peningkatan jumlah pesakit Covid-19.

Beliau berkata, hotel swasta dan GLC yang berbuat demikian boleh diberikan insentif cukai tertentu.

Emmy berkata pendekatan menggunakan hotel bajet sebagai pusat kuarantin pesakit Covid-19 akan membantu pengusaha yang terjejas teruk akibat pandemik sejak tahun lalu.

Pendapatan pengusaha hotel bajet jatuh sehingga 80% akibat kemerosotan industri pelancongan domestik dan kejatuhan mendadak pelawat asing, kata beliau.

“Malah, bila PKP 2.0 dilaksanakan bulan ini, pendapatan kami makin terkesan apabila banyak tempahan dibatalkan, termasuk bilik, dewan seminar sertai dewan majlis,” kata beliau.

“Kami harap kerajaan akan terus membantu industi ini dengan menambah bantuan bagi membolehkan kami dapat bertahan, termasuk subsidi upah dan pemberian diskaun kemudahan seperti elektrik yang lebih tinggi,”katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here