BUTTERWORTH, 17 Sept — Taman rekreasi Robina Eco Park di Telok Air Tawar di sini ditutup lima hari bermula esok ekoran kehadiran pengunjung yang terlalu ramai dan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Rozali Mohamud berkata pihaknya mengarahkan taman berkenaan ditutup kepada orang ramai hingga Rabu ini selepas mendengar nasihat polis dalam membendung penularan wabak COVID-19.

“Penutupan itu berikutan ketidakpatuhan SOP oleh orang ramai yang hadir di taman rekreasi tersebut dengan kehadiran pengunjung yang terlalu ramai iaitu 700 hingga 1,000 orang pada hujung minggu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pemantauan pihaknya semalam mendapati kehadiran pengunjung mencecah 1,000 hingga 2,000 orang pada satu-satu masa malah mereka gagal mematuhi SOP Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal.

“Ada juga dalam kalangan pengunjung yang masih belum lengkap vaksin dan berikutan gagal mematuhi SOP, saya telah memaklumkan perkara berkenaan kepada Datuk Bandar MBSP, Pegawai Daerah dan Pegawai Kesihatan Daerah pada hari ini bagi menutup sementara pusat rekreasi berkenaan untuk mengekang penularan COVID-19.

Ia juga bagi mengelakkan tanggapan negatif masyarakat setempat yang berkemungkinan akan menyebabkan ia tular di media sosial dan penutupan pusat rekreasi tersebut juga wajar memandangkan ia berada di kawasan Zon Merah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata polis menahan tiga lelaki dan merampas 634 bungkusan air ketum, 15 kilogram daun ketum dan pelbagai peralatan untuk memasak air ketum yang kesemuanya bernilai lebih RM10,000, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Manggis, di sini semalam.

Menurut beliau dalam serbuan pada 8 malam itu, tiga lelaki berusia antara 28 hingga 47 tahun itu baru selesai memasak dan membungkus semua air ketum berkenaan dan dipercayai mereka sedang menunggu pelanggan untuk mengambilnya.

“Kami turut merampas periuk, dapur dan tong gas dalam serbuan itu, siasatan mendapati mereka menjual air ketum tersebut dengan harga RM10 sebungkus dan mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan,” katanya sambil menambah sindiket itu terlibat dalam kegiatan berkenaan sejak beberapa bulan lepas.

Beliau berkata tiga lelaki yang mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah itu turut positif dadah dan semua mereka kini direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here