LANGKAWI, 19 Feb — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap orang ramai yang sihat termasuk pelancong dibenarkan memasuki pulau itu bagi membantu sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata pintu masuk utama ke pulau bebas cukai itu seperti menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Terminal Feri Penumpang Kuah akan memudahkan saringan kesihatan dilakukan terhadap pengunjung.

“Memang ada kes COVID-19 dilaporkan di Langkawi namun itu merupakan kes dalam tahanan. 

“Saya harap beri peluang dan kebenaran kepada mereka yang sihat dari tanah besar untuk masuk ke Langkawi, saya yakin saringan kepada hanya yang sihat sahaja dibenarkan masuk boleh dilakukan,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui media semasa meninjau keadaan di Terminal Feri Penumpang Kuah hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut meluangkan masa melihat dekorasi seni arca pasir yang dibina simbolik kepada pengorbanan wira barisan hadapan yang bertugas tanpa henti sejak negara dilanda pandemik COVID-19 di lokasi tersebut.

Sebagai rekod, sejumlah 13 kes aktif masih dicatatkan di Langkawi hari ini dan kesemuanya merupakan kes dalam tahanan.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata parti politik yang mewakili kaum Melayu ketika ini sebenarnya sudah menjadi minoriti dan perlu bergantung antara satu sama lain.

“Kita sudah jadi parti-parti kecil, bergantung kepada orang lain untuk dapatkan kemenangan.

“Saya ada formula untuk perpaduan Melayu, ada banyak tetapi orang nak terima formula tak banyak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here