KUALA TERENGGANU, 26 Feb — Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menjadi individu pertama di Terengganu menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech, pada majlis pelancaran Program Imunisasi Vaksin COVID-19 peringkat negeri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Beliau menerima suntikan tersebut pada pukul 4.05 petang bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak, dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus.

Ketika ditemui pemberita selepas selesai tempoh pemantaun selama 15 minit, Ahmad Samsuri berkata suntikan tersebut hanyalah satu proses yang biasa dan rakyat di negeri ini tidak perlu bimbang atau takut untuk turut serta menerima suntikan.

“Ia satu proses yang biasa, kena gigit semut pun sakit lagi, (rasa) jarum sahaja dari segi vaksin yang masuk ke dalam badan saya rasa tidak ada apa-apa kesukaran untuk kita. Semua rakyat yang menerima (vaksin) tidak perlu takut, dan sepatutnya mereka teruja untuk menanti giliran masing-masing,” katanya.

Beliau memaklumkan akan menerima suntikan kedua vaksin tersebut pada 19 Mac ini.

Ketika ditanya mengenai tarikh semua ahli Dewan Undangan Negeri akan menerima suntikan vaksin COVID-19, beliau berkata mereka akan dimaklumkan melalui notifikasi di aplikasi MySejahtera masing-masing.

Sementara itu Dr Nor Azimi berkata, Terengganu menerima sebanyak 16,330 dos vaksin Pfizer-BioNTech semalam, yang ditempatkan di tiga buah daerah penyimpanan vaksin iaitu Kuala Terengganu, Setiu dan Kemaman.

Beliau berkata pihaknya juga menyasarkan lebih 15,000 petugas barisan hadapan di Terengganu, akan menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi fasa pertama ini.

“Sasaran kita untuk petugas barisan hadapan bagi fasa pertama adalah melebihi 15,000 orang, tetapi senarai itu semuanya masih sedang dikemas kini, fasa satu ini akan berterusan hingga bulan April atau Mei ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here