PUTRAJAYA, 1 Mac — Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersetuju memperuntukkan RM7 juta untuk membantu syarikat pembinaan kecil dan sederhana menyegerakan ujian saringan COVID-19 bagi pekerja asing yang berdaftar, kata Menteri Kanan (Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata walaupun terdapat program saringan COVID-19 bagi pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), syarikat pemaju perlu mendahulukan bayaran yang menyebabkan syarikat kecil dan sederhana tidak mampu berbuat demikian.

Beliau menegaskan saringan COVID-19 bagi pekerja asing itu adalah usaha penting untuk mengurangkan risiko jangkitan di tapak pembinaan. 

“Sekarang ini kita lihat sektor pembinaan berjalan dengan rancak tetapi pada masa yang sama cabaran adalah pematuhan SOP (prosedur operasi standard) sebab sektor pembinaan adalah penyumbang kedua terbesar dalam kes positif COVID-19,” katanya pada sidang media selepas majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin, di sini hari ini.

Menurut Fadillah,  sektor pembinaan kerugian RM11.6 bilion dalam bulan pertama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here