PETALING JAYA,2 Mac: Guru-guru sekolah rendah menyatakan perasaan bercampur baur mengenai sesi persekolahan yang kembali dibuka.

Sekalipun menyedari risikonya, mereka berpendapat, kelas yang dikendalikan secara bersemuka lebih efisien dan memberi manfaat kepada guru dan pelajar.

Sesi persekolahan bagi Tahun Satu dan Dua bermula semalam, selepas berbulan-bulan sesi pembelajaran dijalankan dalam talian setelah perintah kawalan pergerakan bersyarat dilaksanakan di beberapa negeri. Murid-murid di peringkat lebih tinggi akan kembali ke sekolah secara berperingkat dalam tempoh sebulan setengah akan datang.

Seorang guru dari Selangor memberitahu FMT, perasaannya tentang kembali ke bilik darjah “bercampur aduk” kerana beliau sudah menyesuaikan diri dengan “norma baharu” bekerja dari rumah. Namun, jelas beliau, sesi pembelajaran secara bersemuka akan membantu kebanyakan murid.

Biarpun kebanyakan muridnya dalam Tahun Satu hingga Tiga telah melakukan yang terbaik melalui pembelajaran dalam talian, beliau mengakui kadang kala agak sukar untuk mereka fokus kepada pembelajaran digital memandangkan usia mereka yang masih muda.

“Saya lebih suka kelas secara bersemuka, terutamanya untuk subjek sains yang memerlukan banyak eksperimen dan aktiviti langsung yang tidak dapat dilakukan dalam talian.

Melalui kelas dalam talian, beliau terpaksa mengubah kaedah pengajaran yang memerlukan latihan praktikal dengan “cara yang lebih kreatif bagi menjelaskan konsep sains” kepada murid-muridnya.

Lebih banyak ruang melalui kelas secara bersemuka untuk pengajaran yang disasarkan, yang membolehkan guru-guru memberi lebih perhatian terhadap keperluan setiap murid.

Seorang lagi guru sekolah rendah juga dari Selangor berkata, walaupun beliau “semestinya” lebih cenderung terhadap kelas secara bersemuka sebagai cara untuk berinteraksi secara langsung dengan murid-muridnya, beliau sedar akan risikonya.

“Tentu sahaja saya ada kebimbangan memandangkan bilangan kes Covid-19 masih tinggi. Jadi kita hendaklah terus mengamalkan penjarakan sosial, terutamanya apabila melibatkan anak-anak kecil,” kata beliau.

Sebagai seorang guru Bahasa Inggeris, beliau berkata, memang terdapat banyak aspek pembelajaran yang menjadi sukar dengan kelas dalam talian.

“Antara cabaran terbesar adalah saya tidak dapat memantau hal-hal kecil seperti komunikasi lisan, kemahiran tulisan tangan, bahkan ejaan. Saya juga berpendapat bahawa pelajar tidak dapat berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain. Tidak banyak komunikasi sosial dapat berjalan dengan kelas dalam talian.

“Kelebihan (kelas dalam talian) adalah murid-murid dapat melatih diri mereka untuk menyesuaikan diri dengan cepat apabila berdepan dengan situasi yang mencabar. Tetapi, kita juga akan melihat kemerosotan dalam beberapa hal, seperti tulisan tangan dan penyerahan tugasan. Itu adalah cabaran terbesar,” kata beliau.

“Dalam jangka panjang, pada pendapat saya, keburukannya melebihi kelebihan.”

Beliau juga bimbang kecergasan fizikal murid-murid akan merosot setelah menghabiskan begitu banyak masa di hadapan komputer.

Ada juga guru yang mengadu mengalami sakit belakang akibat menghabiskan terlalu banyak masa di hadapan skrin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here