KUALA LUMPUR, 17 Mac — Tourism Malaysia menganjurkan pertandingan Cuti-Cuti Malaysia Travel Wish Lists 2021bermula 17 Mac hingga 2 April dalam usaha merancakkan kembali pelancongan domestik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, orang ramai yang ingin mengambil bahagian boleh menghantar foto pelancongan menarik berserta penulisan cerita pendek destinasi percutian impian mereka ke platform media sosial Backpackerz dan Tourism Malaysia.

 “Saya menyeru orang ramai merebut peluang bagi menonjolkan keunikan serta keindahan tempat menarik dalam negara yang hendak kita lawati apabila aktiviti rentas negeri, kembali dibenarkan,” katanya ketika merasmikan pertandingan berkenaan secara maya menerusi aplikasi Zoom. 

Pertandingan dengan kerjasama majalah digital pelancongan, Backpackerz itu menawarkan hadiah utama geran pelancongan bernilai RM4,000 dan telefon pintar Apple iPhone 12.

Inisiatif ini selari dengan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 yang dapat membantu meraih publisiti produk pelancongan domestik di media sosial.

Naib johan pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta konsol permainan video jenama Sony Playstation 5, manakala pemenang tempat ketiga akan menerima wang tunai RM1,500 berserta Apple Airpods manakala lima pemenang hadiah sagu hati akan membawa pulang wang tunai RM300.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang https://verst.com.my/backpackerz/ atau https://www.facebook.com/backpackerzmag.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here