GEORGE TOWN, 19 Mac — Industri perhotelan di Pulau Pinang dijangka mencatat pemulihan sewajarnya dalam perniagaan pada 2022, kata Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang Raj Kumar hari ini.

Beliau berkata hotel-hotel kini beransur pulih setelah setahun penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kerana COVID-19.

“Sepanjang tahun, hotel menerima kesan yang ketara akibat pandemik itu kerana demografi utama mereka menyasar pasaran antarabangsa.

“Sebaliknya, hotel perniagaan mengalami sedikit pemulihan akhir-akhir ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan MAH di sini.

Beliau berkata sembilan hotel di Pulau Pinang telah mengumumkan penutupannya tetapi sebuah daripadanya menyatakan akan dibuka semula di bawah pengurusan baharu.

“Saya diberitahu bahawa ada antara lapan hotel yang ditutup itu juga mempertimbang untuk dibuka semula di bawah pengurusan baharu, tetapi hanya bila tiba waktu yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, beliau mengunjurkan pertumbuhan 50 peratus dalam acara yang akan diadakan di hotel-hotel di Pulau Pinang pada bulan depan, dengan anggapan bahawa perjalanan rentas negeri dibenarkan di Pulau Pinang.

Beliau berkata terdapat beberapa pertanyaan mengenai tempahan ruang hotel untuk menganjurkan acara.

“Bagaimanapun, tempahan acara ini belum dapat disahkan kerana Pulau Pinang masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, yang tidak membenarkan perjalanan rentas negeri,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here