KUALA LUMPUR, 19 Mac — Peluasan jaringan keselamatan sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dijangka menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran negara, kata Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata antara program pasaran buruh aktif dalam PEMERKASA yang akan dilaksanakan Perkeso adalah insentif penawaran pekerjaan sementara dan pekerjaan gig.

Program lain adalah dana padanan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso bagi usahawan wanita dan wanita yang bekerja sendiri, serta pelanjutan tempoh insentif untuk Program Perantisan dan pelanjutan Program Subsidi Upah 3.0 selama tiga bulan secara bersasar.

“Selaras dengan pengumuman itu (PEMERKASA), PERKESO akan melaksanakan insentif pengambilan pekerja di bawah PenjanaKerjaya 2.0 yang merangkumi pekerjaan jangka pendek atau pekerjaan gig di bawah Program KerjayaGig.

“Program KerjayaGig menyediakan insentif RM600 sebulan sehingga tempoh maksimum enam bulan kepada pekerja yang diambil bekerja oleh platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar di bawah PERKESO,” katanya.

Di bawah program itu, platform penyedia perkhidmatan gig yang menawarkan pekerjaan jangka pendek kepada pencari kerja akan menerima insentif sebanyak RM200 secara one-off bagi setiap pengambilan.

Menurutnya usahawan wanita dan wanita yang bekerja sendiri pula akan mendapat manfaat daripada Dana Padanan 70 peratus untuk caruman di bawah Pelan 2 SKSPS (iaitu perlindungan pendapatan sebanyak RM1,550).

Menerusi Program SPS Prihatin Wanita (SPW) itu, kerajaan akan membayar 70 peratus daripada caruman, iaitu RM163 sementara golongan sasar hanya perlu membayar 30 peratus daripada caruman setahun skim itu.

Sementara itu, seramai 400,000 pekerja dan 37,000 majikan dijangka mendapat manfaat daripada Program Subsidi Upah 3.0 (PSU 3.0) dengan peruntukan sebanyak RM700 juta.

“Seperti yang digariskan dalam PEMERKASA, PSU 3.0 akan dilanjutkan selama tiga bulan lagi secara lebih bersasar iaitu khusus bagi sektor pelancongan, perdagangan borong dan runcit serta sektor-sektor lain yang ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Maklumat lanjut berhubung inisiatif dalam PEMERKASA akan dimuat naik ke laman web www.perkeso.gov.my serta media sosial rasmi Perkeso dari semasa ke semasa, dan untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh hubungi Pegawai Perkhidmatan Pelanggan Perkeso di talian 1-300-22-8000 atau e-mel kepada perkeso@perkeso.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here