PETALING JAYA,25 Mac: Pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-Undang Jenayah Majlis Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, undang-undang yang diluluskan di bawah Ordinan Darurat membenarkan mereka yang bukan berstatus pegawai kesihatan untuk turut mengeluarkan kompaun.

Justeru katanya, kenyataan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham bahawa kompaun hanya boleh dikeluarkan oleh pengarah kesihatan serta pegawainya sahaja, manakala kompaun yang dikeluarkan oleh polis atau pegawai kementerian lain dianggap batal adalah tidak benar.

Rafique memberitahu FMT, perhatian seharusnya diberikan kepada definisi “pegawai yang diberi kuasa” dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang dikemas kini yang menyaksikan terma berkenaan diperluaskan.

“Definisi baharu ‘pegawai yang diberi kuasa’ dipinda dengan perkataan ‘mana-mana pegawai kesihatan atau pemeriksa kesihatan’ telah dihapuskan dan diganti dengan ‘mana-mana pegawai alam sekitar atau mana-mana indvidu yang sesuai’.

“Oleh itu , definisi pegawai yang diberi kuasa kini tidak hanya terhad kepada pegawai kementerian kesihatan sahaja.

“Pegawai polis juga merupakan pegawai yang diberi kuasa. Kompaun yang dikeluarkan oleh pegawai yang bukan dari Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menjadikannya batal.”

Bagaimanapun katanya, isu lain yang diutarakan Ngeh mengenai setiap kompaun hendaklah mendapat keizinan bertulis daripada pendakwa raya adalah benar.

“Seandainya tiada keizinan bertulis daripada pendakwa raya , maka ia terbatal biarpun dikeluarkan oleh pegawai yang diberi kuasa.

“Kompaun yang dikeluarkan juga hendaklah menyatakan dengan jelas bahawa ia mendapat keizinan pendakwa raya.”

Tambah beliau, mereka yang percaya bahawa kompaun yang diterima terbatal atas sebab ini, seharusnya mengemukakan permohonan kepada pegawai kesihatan daerah.

“Seandainya ia batal kerana tidak mendapat keizinan bertulis pendakwa raya, individu berkenaan mempunyai hak untuk tidak membayar kompaun berkenaan.”

“Jika perkara ini dibawa ke mahkamah , individu berkenaan boleh mencabarnya. Kenapa kita harus bayar kompaun yang dibatalkan?”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here