KUCHING, 4 April — Kluster Tembok di daerah Sri Aman menjadi peyumbang tertinggi kes jangkitan baharu COVID-19 di Sarawak hari ini dengan 159 kes, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, Kluster Tembok itu melibatkan tahanan dan kakitangan di Penjara Pusat Sri Aman. 

“(Sehingga hari ini) Seramai 322 tahanan telah disaring di mana 156 tahanan positif (79 rakyat Malaysia dan 77 bukan warganegara Malaysia) dan 166 masih menunggu keputusan makmal, manakala bagi kakitangan penjara pula, 131 telah disaring dan tiga disahkan positif, lapan didapati negatif dan 120 masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan COVID-19 bagi negeri Sarawak di sini, hari ini.

Uggah berkata, Penjara Pusat Sri Aman juga telah diwartakan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) untuk kes positif melibatkan tahanan, manakala dewan di penjara tersebut digunakan untuk kakitangan yang positif.

Selain kluster tersebut, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak turut mengisytiharkan dua lagi kluster baharu iaitu Kluster Sungai Mupong di Meradong dan Kluster Sungai Rassau di Matu, namun tiada perincian penuh mengenai kluster tersebut setakat ini.

Hari ini terdapat 419 kes jangkitan baharu COVID-19 di seluruh Sarawak, iaitu kes harian yang kedua tertinggi setakat ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 17,554 kes.

Sementara itu, terdapat satu kes kematian baharu melibatkan jangkitan COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 telah meningkat kepada seramai 114 orang di Sarawak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here