KUALA LUMPUR, 5 April  — Pemulihan permintaan dan eksport produk minyak sawit global dijangka lebih kukuh bagi tempoh April-Jun tahun ini, kebanyakannya bagi penghantaran ke India dan China yang berdepan kekurangan simpanan ketara pada masa ini, kata penganalisis.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata kalangan pembeli masih menunggu penurunan harga produk itu sebelum membuat tempahan masing-masing dengan India diunjur menjadi peneraju pembelian produk sawit bagi tahun ini walaupun dalam persekitaran harga yang tinggi.

“Harga telah meningkat secara ketara berikutan penawaran sawit yang lebih rendah di Malaysia, ketika pasaran global pula terus menumpukan aspek dinamik permintaan dan bekalan di negara ini dari segi penetapan harga minyak sawit mentah (MSM) serta harga minyak makan global yang tinggi,” katanya pada Seminar Internet Minyak Sawit (POINTERS) 2021 di sini pada Isnin.

Menurut Sathia, stok simpanan di China pula mengalami defisit sejak beberapa bulan dengan data terkini menunjukkan paras defisit itu mencecah 27 peratus.

Malaysia dan Indonesia mengksport sejumlah 6.3 juta tan produk berasaskan sawit ke China.

“Eksport tersebut akan meningkat kepada 6.6 juta tan pada 2021 bagi menampung kekurangan dengan eksport utama dari Malaysia berikutan harga MSM yang lebih kompetitif berbanding Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Shanghai Pansun Company Cai Neng Bin berkata, usaha pengawalan dan pencegahan Demam Babi Afrika (ASF) masih menjejaskan jumlah kacang soya hancur China, sekali gus meningkatkan potensi pertumbuhan bagi import dan penggunaan minyak sawit.

“Pengurangan pengeluaran pelbagai jenis minyak dan lelemak ini telah menyebabkan kekurangan bekalan di peringkat global yang pasti memakan masa lama untuk meningkatkan semula jumlah simpanan tersebut,” katanya.

Selain itu, menyentuh permintaan global, Sathia berkata program vaksinasi dan pelan rangsangan fiskal akan menyuntik perbelanjaan pengguna dan dapat meningkatkan ekuiti, pasaran dan komoditi secara beransur-ansur.

Sehubungan itu, beliau mengunjurkan pengeluaran minyak sawit Malaysia akan meningkat sebanyak dua peratus kepada 19.5 juta tan manakala eksport menokok sehingga tiga peratus kepada 17.7 juta tan pada 2021.

“Harga pula sepatutnya lebih rendah daripada separuh kedua 2021 yang menyaksikan penurunan kepada RM3,300 satu tan bagi tempoh Jun dan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, CGS-CIMB Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya, mengunjurkan eksport minyak sawit mencatat pertumbuhan 25 peratus bulan ke bulan akibat pengukuhan permintaan dari India.

Ini berikutan negara tersebut melaksanakan aktiviti menambah jumlah simpanan serta diskaun menarik minyak sawit berbanding pesaing iaitu minyak makan lain.

“Permintan terhadap minyak sawit itu diunjur kekal kukuh menjelang Ramadan pada pertengahan Mei 2021,” katanya.

Pada bulan lepas, harga MSM mencecah paras RM4,247.50 satu tan iaitu tertinggi dalam sejarah komoditi Malaysia.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here