KUALA LUMPUR, 5 April — Inisiatif ‘MyDigitalWorkForce Work In Tech’ (MYWiT) yang diumumkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada hari ini, adalah bukti usaha berterusan kerajaan untuk mengekalkan industri teknologi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau juga menyifatkan usaha tersebut bakal melonjakkan keupayaan dan kapasiti demi memastikan industri perniagaan digital terus bertahan serta maju.

“Kerajaan menerusi usaha bersama dengan MDEC, akan terus menerajui kemajuan ekonomi digital dan memacu pencapaian seperti yang digariskan dalam (Rangka Tindakan Ekonomi Digital) MyDIGITAL, sekali gus membawa kemakmuran bersama,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut MDEC, MYWiT merupakan program pengambilan pekerja dan latihan yang bertujuan merancakkan sektor perkhidmatan digital perniagaan selain melahirkan tenaga kerja teknologi berkualiti di Malaysia dengan objektif meningkatkan kemahiran dan pemberian subsidi kepada pekerja dan majikan menerusi insentif gaji dan latihan bernilai RM100 juta.

Program tersebut adalah kesinambungan Gerakan #MyDigitalWorkforce yang dilancarkan oleh MDEC pada tahun lepas membabitkan melatih semula serta meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia bagi memenuhi keperluan pekerjaan dalam ekonomi digital.

“Lebih daripada 300 syarikat dalam sektor teknologi ini akan mendapat manfaat menerusi program ini manakala sebanyak 6,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan dengan sasaran penghasilan 1,000 tenaga kerja teknologi berkualiti tinggi.

“Ini selaras dengan objektif MyDIGITAL yang menyasarkan pewujudan 500,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia menjelang 2025,” katanya.

Pengerusi MDEC, Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff berkata dalam suasana baharu akibat pandemik COVID-19, penggunaan digital dan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) adalah penting untuk perniagaan dan tenaga kerja Malaysia.

Sehubungan itu, menerusi inisiatif itu, MDEC akan meneruskan mandat membawa inovasi dan kemajuan bagi alam pekerjaan dan perniagaan dalam menyokong matlamat MyDIGITAL.

“Usaha meningkatkan kemahiran digital rakyat tempatan menerusi insentif seperti MYWiT dapat mengurangkan pengganguran, sekali gus menyumbang kemajuan negara dalam menuju Malaysia 5.0,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata agensi itu bermatlamat untuk memberi insentif kepada syarikat-syarikat teknologi dalam menggaji, meningkatkan kemahiran dan mengimbangi tenaga kerja Malaysia yang terkesan secara langsung akibat pandemik COVID-19.

“Di peringkat asas, program ini dijangka memacu perjalanan Malaysia menuju sebuah masyarakat digital menerusi penciptaan peluang dalam sektor digital untuk rakyat, perniagaan dan ekonomi secara keseluruhannya, sejajar dengan objektif MyDIGITAL,” katanya.

Menurut MDEC, MyWiT meliputi dua komponen — Perkhidmatan Digital Perniagaan (DBS) untuk siswazah baharu, mereka yang tidak bekerja atau diberhentikan kerja manakala Perantis Teknologi Digital (DTA) terbuka kepada mereka yang tidak bekerja dan diberhentikan kerja.

DBS merangkumi pemberian insentif kepada syarikat yang mahu menggaji siswazah baharu atau mereka yang menganggur untuk jawatan perkhidmatan digital perniagaan di organisasi mereka dengan menawarkan insentif minimum di antara RM9,800 dan RM20,600 bagi setiap pekerja.

Komponen DTA pula menyasarkan syarikat yang menggaji rakyat tempatan tidak bekerja untuk memenuhi permintaan tinggi sektor teknologi seperti Sains Data, Pembangunan Perisian dan Keselamatan Siber dengan tawaran pakej insentif sebanyak RM15,200 bagi setiap pekerja.

Syarat kelayakan insentif DBS dan DTA itu termasuk syarikat harus diperbadankan di Malaysia, komited menyediakan pekerjaan bagi tempoh minimum 12 bulan dengan kuota maksimum pengambilan pekerja masing-masing 500 orang untuk DBS manakala DTA seramai 50 orang, kata MDEC.

Selain itu, individu yang berminat mendapat manfaat MYWiT mestilah warganegara Malaysia dan tidak pernah menerima manfaat daripada mana-mana program insentif MYWiT MDEC atau sebahagian daripada Penjana Kerjaya 2.0 dan program Penjana KPT-CAP.

Menurut agensi itu, inisiatif MDEC di bawah tonggak Pekerjaan dan Kemahiran Digital telah memberi impak terhadap dua dua juta rakyat sejak 2016 hingga suku ketiga 2020.

MDEC juga telah memberi sokongan kepada sektor pekerjaan dengan akses kepada peningkatan kemahiran dan peluang pendapatan menerusi program dan inisiatif termasuk Direktori Latihan Kemahiran Digital, Global Online Workforce (GLOW) dan Go-eCommerce.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here