KOTA BHARU, 15 April — Tiada pembelian panik dikesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tujuh daerah di Kelantan bermula esok hingga 29 April.

Tinjauan Bernama di beberapa buah pasar raya utama di sekitar bandar ini mendapati orang ramai membeli dalam keadaan terkawal dan tenang selain turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Seorang suri rumah, Farahin Rusli, 30, dari Kampung Tasik Berangan, Pasir Mas berkata dia tidak berasa panik dan hanya melakukan pembelian biasa serta rutin mingguan kerana pasar raya dibenarkan beroperasi manakala ketua keluarga pula dibenarkan keluar.

“Malah, hari ini saya hanya mendapatkan barang keperluan seperti rutin mingguan biasa, selain barang-barang keperluan termasuk barang basah juga masih dalam kuantiti mencukupi,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di tujuh daerah di Kelantan selama dua minggu bermula Jumaat ini membabitkan daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.

Seorang peniaga sayur di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Roslina Abdullah, 34, berkata keadaan di pasar tersebut terkawal sama seperti hari sebelum pengumuman pelaksanaan PKP. 

Katanya, berbeza ketika pelaksanaan PKP pada Mac tahun lepas, pada kali ini orang ramai membeli barangan dalam kuantiti berpatutan dan hanya untuk keperluan harian

Seorang jurutera Wan Nurul Aiman Wan Mahmood, 34 dari Kampung Paloh, Pintu Geng, di sini berkata pengalaman berdepan pelaksanaan PKP pada Mac lepas membuatkan dia lebih bersedia untuk menghadapi situasi itu semula.

“Saya mengambil peluang untuk membeli barangan keperluan hari ini memandangkan kebetulan saya cuti. Selain itu, pengalaman PKP lalu juga membuatkan saya lebih tenang dan melalui pemerhatian barangan keperluan juga dilihat mencukupi,”katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Ibis Styles Kota Bharu Zac Harun berkata pihaknya mengambil langkah membatalkan bufet ramadan bermula hari ini selepas pengumuman dibuat kerajaan semalam.

Katanya, pihak hotel memilih untuk menangguhkan terlebih dahulu sementara menantikan SOP terbaharu yang lebih jelas mengenai penganjuran bufet Ramadan sama ada dibenarkan atau tidak secara keseluruhannya.

“Jika SOP membenarkan, kami akan mengumumkan perkara ini di laman media sosial hotel. Kami juga menyokong penuh tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ini bagi menghentikan penularan wabak COVID-19 ini yang dilihat kian meningkat hampir setiap hari di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, setakat hari ini pihaknya telah menerima lebih 200 tempahan berbuka puasa bagi minggu pertama sepanjang Ramadan ini.

“Jika bufet Ramadan tidak dibenarkan, kami akan memulangkan kembali bayaran pendahuluan pelanggan yang telah membuat tempahan. Selain itu, kami juga telah bersedia dengan pelan lain iaitu memberi perkhidmatan penghantaran juadah berbuka puasa, jika bufet Ramadan tidak dibenarkan beroperasi. 

“PKP bukan penghalang untuk kami mencari sumber pendapatan bagi hotel. Jika tidak boleh makan di restoran, kami akan hantar juadah ke pintu rumah pelanggan,”katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here