KUCHING, 15 April  — Kerajaan Sarawak meminta kerajaan Persekutuan membekalkan negeri ini dengan vaksin COVID-19 berdos tunggal CanSino buatan China, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata permintaan itu dibuat semasa pertemuannya dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin di Putrajaya, baru-baru ini.

Katanya, vaksin CanSino yang hanya memerlukan suntikan satu dos adalah vaksin yang paling sesuai terutama bagi penduduk Sarawak yang tinggal di pedalaman negeri ini.

“(Dalam pertemuan itu) Kita memohon kira-kira 600,000 hingga 800,000 (dos) vaksin COVID-19 CanSino untuk dibekalkan ke Sarawak.

“Vaksin ini akan digunakan untuk memudahkan proses vaksinasi kita kepada penduduk di kawasan pedalaman, jadi mereka tidak lagi perlu divaksin dua kali (dua dos), tetapi hanya sekali,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 1 April lepas, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Malaysia akan menerima bekalan 3.5 juta dos vaksin CanSino COVID-19 dari China secara berperingkat, mulai bulan ini.

Dr Adham berkata vaksin CanSino akan digunakan terutama di kawasan pedalaman dan kawasan melibatkan penerima vaksin sukar untuk datang bagi mendapatkan suntikan dos kedua seperti vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

Sementara itu, Uggah berkata kerajaan negeri mengambil semua langkah yang diperlukan bagi memastikan Sarawak mendapat bekalan vaksin yang mencukupi untuk program imunisasinya.

“Pada masa ini, kita mengambil semua langkah termasuk bersedia untu membeli vaksin kami sendiri agar sasaran untuk menyelesaikan vaksinasi di Sarawak pada hujung Ogos akan tercapai,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here