PUTRAJAYA, 29 April — Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 akan dilancarkan dalam masa terdekat untuk memacu industri seni dan budaya negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata DAKEN 2021 akan memacu usaha ke arah merealisasikan visi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dengan kekayaan budaya oleh rakyatnya serta melestarikan agenda pemeliharaan dan pemuliharaan seni dan warisan negara.

Katanya, dasar tersebut telah dirangka dengan mengambil kira hasrat serta inti pati yang terkandung dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971. 

“Matlamat utama DAKEN 2021 adalah untuk membentuk masyarakat berbudaya nilai tinggi melalui pelaksanaan kebudayaan kebangsaan, budaya sukuan, warisan khazanah dan kecemerlangan budaya disamping mengukuhkan perpaduan dan keperibadian serta jati diri rakyat serta pengukuhan identiti nasional,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

DAKEN 2021 menggariskan tujuh teras utama berkaitan pelaksanaan seni, budaya dan warisan pada masa hadapan yang merangkumi budaya nilai tinggi, keharmonian masyarakat, pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya, pembangunan dan pengembangan budaya, pemerkasaan budaya, penjanaan ekonomi kebudayaan dan kecemerlangan budaya.

Nancy berkata seiring dengan anjakan transformasi ini juga, kerajaan telah bersetuju supaya Malaysia melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bertanding untuk menganggotai kerusi UNESCO’s Intergovernmental Committee (IGC) for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage di bawah 2003 Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage bagi kumpulan negara Asia Pasifik pada 2022.

Beliau berkata sehingga kini Malaysia berjaya menyenaraikan lima Warisan Tidak Ketara (WTK) di bawah konvensyen tersebut iaitu Mak Yong (2005), Dondang Sayang (2018), Silat (2019), Upacara Wangkang (2020) pencalonan bersama China dan Pantun (2020) pencalonan bersama Indonesia.

“Malaysia wajar merebut peluang menjadi ahli IGC supaya identiti dan visibiliti Malaysia dapat terus diketengahkan di peringkat antarabangsa. Penyenaraian WTK Malaysia akan menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia untuk melihat sendiri warisan budaya yang diiktiraf oleh UNESCO dan seterusnya merancakkan lagi ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam perkhidmatan berasaskan warisan kebudayaan selain melawat Pameran dan Demonstrasi Kraf yang diadakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here