KUALA LUMPUR, 28 April — Lebih separuh daripada 120 pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara akan diberi pelepasan daripada menjalani latihan bagi membendung penularan COVID-19 yang dikesan di lokasi berkenaan baru-baru ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata beliau telah memaklumkan Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh agar pelepasan diberi kepada para pemain yang tidak terlibat dengan program Road To Tokyo, mereka yang masih memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo selain beberapa pemain junior yang akan menyertai kejohanan di Slovenia tidak lama lagi.

“Saya telah berbincang dengan Kenny semalam untuk beliau mengkaji semula keutamaan latihan di ABM kerana kita harus belajar daripada apa yang telah berlaku baru-baru ini.

“Sebelum ini, ABM merupakan satu daripada lokasi latihan yang mempraktikkan model gelembung sukan dengan SOP (prosedur operasi standard) agak ketat namun, apabila kita membuka sedikit ruang terdapat pula pemain yang menjangkiti komuniti di situ,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum itu menerima kunjungan terhormat daripada barisan kepimpinan serta exco baharu Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) bagi tempoh 2020-2023 diketuai Presidennya Norismadi Abd Manap, di sini.

Katanya, mereka yang diberi pelepasan daripada menjalani latihan di ABM dijangka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sebelum kembali ke akademi berkenaan selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Pemain badminton negara kembali turun berlatih di ABM pada Selasa selepas lebih seminggu tidak berbuat demikian sejak 15 individu didapati positif COVID-19 di akademi berkenaan berikutan enam pemain disahkan positif pada 17 April lepas.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata beliau difahamkan Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual pada 23 Julai hingga Ogos ini, masih diteruskan penganjur di Jepun walaupun situasi pandemik COVID-19 semakin buruk sehingga menyaksikan beberapa wilayah seperti Tokyo, Osaka, Kyoto dan Hyogo dikenakan perintah darurat bermula 25 April hingga 11 Mei ini.

Menurutnya, MOM masih menganggap temasya sukan terbesar dunia itu berjalan seperti biasa sebagaimana mengikut perancangan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan penganjur namun menjangkakan pelaksanaan SOP termasuk proses akreditasi pegawai terlibat mungkin diperketatkan bagi membendung penularan virus berkenaan.

Dalam pada itu, Norismadi berkata SAM telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 kepada pengamal media yang akan membuat liputan pada temasya Sukan Olimpik Tokyo.

Katanya, surat permohonan rasmi berkenaan akan melalui MOM untuk dipanjangkan kepada KBS mengikut saluran yang ditetapkan manakala Mohamad Norza menjelaskan MOM akan menyokong permohonan memandangkan pengamal media juga adalah barisan hadapan.

“Saya sendiri akan berhubung dengan menteri-menteri yang terlibat untuk menentukan keperluan pengamal media yang terlibat dengan liputan berita diberikan perhatian serius,” kata Mohamad Norza.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here