GEORGE TOWN, 8 Mei — SlimHaus Technology Sdn Bhd, yang menyasarkan untuk membangunkan rumah mampu milik dan moden menggunakan teknologi Sistem Binaan Industri (IBS), akan melancarkan 199 unit rumah teres tiga tingkat berharga antara RM250,000 dan RM395,000 di Jalan Pantai Acheh, Balik Pulau.

Pengarah SlimHaus Technology Gerald Chin berkata projek itu akan terdiri daripada dua jenis rumah teres tiga tingkat dengan keluasan 800 kaki persegi dan 1,500 kaki persegi.

“Nilai pembangunan kasar akan diumumkan kemudian. Kami menyasarkan untuk menyiapkan projek itu pada akhir tahun depan. Projek ini akan berkeluasan 2.91 hektar menggunakan teknologi IBS.

“Setakat ini, kami mendapat sambutan yang baik daripada pembeli yang berpotensi, terutamanya daripada golongan muda,” katanya kepada pemberita pada pelancaran pratonton projek itu di sini hari ini.

Beliau berkata syarikat akan meneliti pendapatan pembeli untuk unit berharga di bawah RM300,000 bagi memastikan mereka daripada isi rumah di bawah RM10,000 mengikut dasar kerajaan negeri untuk rumah mampu milik.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Perdagangan, Industri dan Keusahawanan negeri Datuk Abdul Halim Hussain serta Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin.

Chow berkata langkah menggunakan teknologi IBS telah menempatkan Slimhaus setanding dengan syarikat-syarikat hartanah maju yang lain dalam memberikan alternatif untuk menyediakan rumah mampu milik yang kondusif dan berkualiti tinggi.

“Seunit rumah teres tiga tingkat Slimhaus ini dengan kualiti fabrikasi yang tinggi dan konsisten mampu disiapkan dalam masa yang amat singkat iaitu hanya empat minggu.

“Ini merupakan satu kemajuan dan pencapaian yang cukup baik terutamanya dalam peralihan pembangunan industri pembinaan era COVID-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here