JOHOR BAHRU, 10 Mei — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 59,924 botol minuman keras tanpa cukai bernilai RM1.39 juta menerusi tiga serbuan berasingan, masing-masing dua di negeri ini dan satu di Selangor pada 26 dan 30 April lepas.

Pengarahnya Sazali Mohamad berkata serbuan pertama dilakukan di ruang pemeriksaan laluan kontena Pelabuhan Johor, Pasir Gudang pada 26 April kira-kira 12.30 tengah hari, membawa kepada penemuan sebanyak 24,200 botol minuman keras bernilai RM401,845 yang disimpan dalam sebuah kontena syarikat perkapalan.

Serbuan kedua pula dibuat pada 30 April di sebuah rumah teres di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri kira-kira 1 tengah hari dan berjaya menjumpai 7,404 botol minuman keras dengan anggaran nilai RM815,841.

“Sementara itu, serbuan ketiga dijalankan sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai di sebuah gudang pembekal barang makanan di Seksyen U5 Shah Alam, Selangor kira-kira 2 petang juga pada hari sama (30 April).

“Dalam serbuan ini, sebanyak 28,320 botol minuman keras bernilai RM174,762 yang diletakkan dalam sebuah treler dan kontena di perkarangan premis berkenaan dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, sindiket terlibat menggunakan beberapa modus operandi termasuk membawa masuk minuman keras itu dengan membuat ikrar dagangan yang mengelirukan serta menjadikan rumah terbiar dan tidak berpenghuni sebagai tempat penyimpanan barang larangan yang tidak bercukai dan tiada kelulusan daripada pihak kastam bagi mengaburi mata pihak penguasa.

Selain itu, sindiket juga dikesan menyimpan dan menyembunyikan minuman keras terbabit di gudang pembekal makanan, kata Sazali.

“Usaha untuk mengesan pemilik-pemilik premis ini sedang dijalankan dan ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dan menambah bahawa semua serbuan tidak melibatkan sebarang tangkapan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here