KUALA LUMPUR, 17 Mei — Susulan keadaan meruncing dalam situasi semasa COVID-19 negara, Jawatankuasa Vaksinasi COVID-19 Pakatan Harapan (PH) meminta kerajaan menjalankan inisiatif ujian saringan besar-besaran di daerah berisiko tinggi menggunakan RTK Antigen.

Ini bagi membolehkan individu yang dijangkiti COVID-19 didiagnosis, diasingkan dan dirawat lebih awal untuk mencegah lonjakan kematian COVID-19 dan kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) yang penuh. 

“Semakin lambat kita melakukan ujian saringan dan mengeluarkan status positif, semakin tinggi kemungkinan mereka yang dibawa masuk menghadapi simptom dan komplikasi yang lebih teruk sehingga meningkatkan risiko kematian,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut jawatankuasa berkenaan, menerusi peningkatan kadar saringan dan pengesahan kontak rapat secara ketara, angka sebenar mereka yang dijangkiti dapat diketahui, membolehkan langkah tertentu diambil untuk mengasingkan mereka. 

Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor) dan dianggotai Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Dr Hatta Ramli (Lumut), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Dr Ong Kian Ming (Bangi), Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Kesihatan Selangor), Dr Norlela Ariffin (Exco Kesihatan Pulau Pinang) dan S. Veerapan (Exco Kesihatan Negeri Sembilan).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here