SINGAPURA, 17 Mei — Pelancaran Penerbangan Gelembung Perjalananan Udara (ATB) Singapura-Hong Kong yang awalnya dirancang pada 26 Mei 2021 akan ditangguhkan memandangkan kes COVID-19 yang kian meningkat di Singapura.

Kementerian Pengangkutan Singapura mengatakan Menterinya S. Iswaran mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Hong Kong, Edward Yau pagi tadi.

“Kedua-dua pihak tetap berkomitmen untuk melancarkan ATB dengan selamat. Namun, memandangkan peningkatan kes baru-baru ini, Singapura tidak dapat memenuhi kriteria untuk memulakan ATB Singapura-Hong Kong,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak bersetuju untuk menangguhkan pelancaran ATB bagi melindungi kesihatan pelancong dan orang awam di kedua-dua lokasi ini, tambahnya.

Kementerian itu berkata Singapura dan Hong Kong akan memantau keadaan kesihatan awam di kedua-dua tempat dengan teliti dan mengkaji semula tarikh pelancaran penerbangan ATB yang baharu menjelang akhir Fasa 2 (Amaran  Tahap Tinggi) di Singapura.

Republik itu ini berada di Fasa 2 (Amaran Tahap Tinggi) dari 16 Mei hingga 13 Jun. ATB pada awalnya dirancang untuk dimulakan pada November 2020 tetapi ditangguhkan oleh kedua-dua pihak kerana keadaan COVID-19 yang semakin buruk di Hong Kong.

Kemudian pada 26 April 2021, pengumuman dibuat bahawa Singapura dan Hong Kong bersetuju untuk menetapkan 26 Mei sebagai tarikh pelancaran baharu untuk ATB mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here