MELAKA, 19 Mei  — Kerajaan Negeri Melaka akan membuka satu lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini bermula Jumaat ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, PKRC MITC merupakan yang keenam dibuka di negeri ini selepas Kolej Kejururawatan Melaka, Penjara Sungai Udang, Penjara Koreksional Jasin, Pusat Koreksional Malaysia Tanjung Kling dan Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo, tetapi ia merupakan PKRC pertama untuk orang awam, khususnya rakyat Melaka yang dijangkiti COVID-19.

“PKRC berkenaan adalah untuk pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2, dan pembukaannya ekoran kesesakan di PKRC Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), disebabkan peningkatan kes mendadak sejak beberapa hari ini terutama di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Pembukaan PKRC MITC dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan purata kes positif COVID-19 di Melaka buat masa ini adalah sekitar 100 hingga 120 sehari,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke PKRC MITC hari ini.

Turut hadir Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr Ismail Ali.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, kerja-kerja persiapan penyediaan fasiliti antaranya katil dan tandas untuk kegunaan pesakit sedang giat dijalankan ketika ini, dan PKRC itu boleh menempatkan antara 1,000 hingga 1,200 katil dalam satu-satu masa.

Katanya, sebanyak 1,500 petugas dari pelbagai agensi dan jabatan antaranya Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam dan sukarelawan, akan bertugas di PKRC berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), diminta mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) khususnya melibatkan aktiviti keagamaan di masjid dan surau di negeri ini dari semasa ke semasa, dalam usaha mengekang penularan wabak berkenaan terutama dalam kalangan kluster aktiviti terbabit.

“Kita akan lihat perkembangan kes positif COVID-19 melibatkan aktiviti keagamaan bermula 1 Syawal dan sekiranya terdapat peningkatan kes, kita bersiap sedia menurunkan jumlah mereka yang dibenarkan terlibat dalam aktiviti keagamaan, sekali gus mengurangkan aktiviti berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here