KUALA LUMPUR, 19 Mei  — Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) meneruskan operasi pergerakan kira-kira 1,952 pelajarnya kembali ke kampus dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM Prof Dr Muhd Zu Azhan Yahya berkata pergerakan pelajar itu hanya melibatkan mereka berkeperluan sahaja termasuk pelajar yang tidak mempunyai akses internet yang laju di rumah, pelajar tahun akhir dan pelajar yang menjalani latihan amali di universiti itu.

Beliau berkata setiap pelajar yang terlibat akan diwajibkan untuk membuat saringan COVID-19 menggunakan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) yang ditanggung sepenuhnya pihak UPNM.

“Pergerakan kembali ke kampus ini hanya akan menggunakan kaedah pengangkutan yang dibenarkan MKN seperti pulang bersama waris atau keluarga, menggunakan kenderaan sendiri selain penerbangan komersial dan bas sewa khas yang diuruskan pihak universiti,” katanya dalam program ‘Malaysia Petang Ini’ yang disiarkan secara langsung di Bernama TV hari ini.

Ditanya tentang perancangan terbaru pihak UPNM selepas kes baharu COVID-19 melebihi 6,000 kes hari ini, Muhd Zu Azhan berkata pusat kesihatan UPNM akan sentiasa memantau perkembangan kesihatan para pelajar universiti itu bagi memastikan mereka bebas daripada penularan COVID-19, selain mengamalkan SOP yang ketat.

Hari ini, beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam negara mula mengambil langkah menangguhkan pergerakan pelajar kembali ke kampus susulan peningkatan kes baharu COVID-19 secara mendadak di seluruh negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here