KUCHING, 28 Mei — Kerajaan Sarawak hari ini mengumumkan fasa keenam Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) melibatkan peruntukan berjumlah RM1.4 bilion dalam inisiatif terbaharunya meringankan beban rakyat menghadapi kesan penularan COVID-19 dan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini bermula esok hingga 11 Jun.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata bantuan khas yang akan disalurkan merangkumi sembilan langkah pembayaran tunai dan enam langkah pemberian diskaun.

“Kerajaan Sarawak sebelum ini melaksanakan lima pakej BKSS yang bernilai lebih daripada RM3.1 bilion, yang telah sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat,” katanya semasa mengumumkan pemberian bantuan khas itu dalam sidang media di pejabatnya di sini.

BKSS 6.0 melibatkan pemberian tunai sebanyak RM250 sebulan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) B40 untuk tempoh enam bulan mulai 31 Julai hingga 31 Dis 2021 manakala individu bujang B40 yang berumur 21 tahun ke atas akan menerima pembayaran tunai berjumlah RM500 secara ‘one-off’ atau sekali beri mulai 31 Ogos 2021.

“Senarai penerima bantuan adalah berdasarkan pada semua data penerima BKSS B40 sebelum ini termasuklah senarai penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021. Langkah ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM970 juta dan akan memberi manfaat kepada lebih daripada satu juta penerima,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here