KUALA LUMPUR, 29 Mei — Kerajaan perlu menyediakan kemudahan teknologi terkini untuk penjawat awam sebagai usaha meningkatkan produktiviti pekerja dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat bersesuaian dengan penerapan suasana bekerja norma baharu.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Abdul Rahman Mohd Nordin berkata dengan 80 peratus petugas mula bekerja dari rumah (BDR), kerajaan perlu mempertimbang pemberian elaun khas seperti data atau subsidi bagi memastikan kelancaran proses itu. 

Beliau berkata kerajaan perlu meningkatkan kemudahan teknologi untuk penjawat awam terutamanya dengan musim pandemik ini kerana ia akan membantu meningkatkan produktiviti.

“Sekitar 20 peratus (pekerja) berada di pejabat, tetapi yang di rumah turut bekerja. Mesyuarat pun secara maya. Jadi perlu diberi elaun data bagi tujuan ini. Kalau di pejabat ada Wi-Fi, tetapi di rumah internet sendiri yang guna data. Ada kakitangan bawahan tidak mampu melanggan data sendiri,” katanya kepada Bernama. 

Menurutnya apabila kemudahan teknologi seperti komputer riba dan data internet disediakan, ia dapat meningkatkan mutu perkhidmatan, dan secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. 

Abdul Rahman berkata dengan arahan 80 peratus BDR, kakitangan awam perlu membuktikan ia bukan bermakna mereka diberi ruang untuk bekerja sambil lewa dan tidak cekap. 

“Namun, ketua jabatan perlu memantau. Contohnya, terdapat jabatan dan agensi yang melaksanakan sistem log masuk di rumah untuk memastikan kehadiran pekerja,” katanya. 

Dua hari lepas, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman menegur penjawat awam yang disifatkan orang ramai masih bersikap sambil lewa dan tidak cekap dalam memberikan perkhidmatan.

Mohd Khairul Adib menerusi ucapan pada perhimpunan bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam secara maya itu berkata penjawat awam perlu meningkatkan mutu perkhidmatan bagi mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap tahap kecekapan perkhidmatan awam dalam menguruskan setiap urusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here