KUALA LUMPUR, 29 Mei — “…rasa macam duduk di Gotham City pulak”, catatan seorang teman di akaun media sosialnya, bagi menggambarkan beliau semakin kerap mendengar jeritan siren ambulans dan polis di tengah-tengah kota metropolitan ini susulan kadar dan kes jangkitan pandemik terus melonjak.

Malaysia mencatatkan 8,290 kes baharu pada 28 Mei 2021, yang tertinggi dalam sehari setakat ini dan telah mengatasi kadar jangkitan baharu di India bagi setiap juta penduduk secara purata tujuh hari sejak 23 Mei.

Gotham merupakan sebuah kota fiksyen yang dipaparkan dalam komik Amerika terbitan DC Comics, lebih popular sebagai tempat tinggal Batman, yang selalunya akan ada orang memerlukan bantuan dan rawatan perubatan.

Bermula dengan perjuangan pada kira-kira setahun lepas, yang kita sudah hampir menang, namun kini kita sekali lagi berada dalam pertempuran lebih besar ke atas virus ini yang telah merampas kehidupan dan mata pencarian rakyat.

Sebanyak 2,552 individu telah kehilangan nyawa di Malaysia dan kita kembali kepada situasi buruk yang pernah dialami sebelum ini, dengan sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan semula.

Sebenarnya, Malaysia bukan satu-satunya negara di dunia yang mengalami peningkatan kes COVID-19 tahun ini. Negara lain juga mengalami peningkatan dan penurunan kes tanpa mengambil kira kadar vaksinasi mereka.

Angka kematian di negara ini juga dianggap rendah berbanding 86.3 peratus atau 474,139 orang yang telah sembuh daripada jangkitan itu sejak tahun lepas.

Saya, pastinya, tidak dapat menilai situasi atau bagaimana virus itu boleh menular di negara-negara lain di dunia yang mencatatkan peningkatan semula kecuali berlandaskan angka-angka yang dilaporkan.

Di Malaysia, kita sebenarnya perlu mengakui kisah-kisah bagaimanapun tuntutan prosedur operasi standard (SOP) supaya menjaga jarak fizikal, sekatan perjalanan dan melarang perjumpaan sosial jelas tidak diendahkan oleh sebilangan orang.

Antara kisah yang membuat saya terkedu baru-baru ini adalah berkaitan catatan Dr Tharshana Thenakaran mengenai persiapannya untuk menyambut kelahiran bayi oleh seorang pesakit COVID-19 pada pukul 4 pagi.

“Apabila kami bertanya bagaimana ini boleh berlaku, si ibu membalas bahawa beliau ‘menziarahi/melakukan perjalanan’ semasa hari raya”. Saudaranya tidak sihat tapi beliau ‘memilih’ untuk melawat mereka.

Pesakit pulang ke rumah dan berasa tidak berapa sihat selepas itu, namun, masih menerima tetamu yang terdiri daripada sanak-saudara dan teman-teman.

“Inilah yang membuat saya kecewa sepanjang dugaan ini, beliau tidak mengambil sedikit masa untuk memikirkan bagaimana tindakan itu boleh menjejaskan bayinya yang belum lahir,” kata Dr Tharshana menerusi catatan di akaun Instagram @tash_karan, yang tersebar luas.

“Tidak perlu memikirkan kami petugas barisan hadapan sebagai orang asing, sebaliknya beliau tidak sedar sekiranya beliau positif COVID-19, itulah yang akan mengubah seluruh pengalamannya dalam melahirkan bayi.

“Tiada pertimbangan diberikan, tidak ada kesedaran juga berlaku,” catatanya yang turut membuktikan situasi itu amat melelahkan dan boleh melumpuhkan semangat juang para petugas barisan hadapan sepertinya.

.Pada Khamis 27 Mei 2021, 24 kluster sambutan hari raya telah dicatatkan.

Di sisi lain pula timbul kisah insan yang mengalami penyakit lain telah kurang mendapat perhatian atau bantuan yang amat diperlukan disebabkan sumber yang banyak telah disalurkan kepada pesakit COVID-19.

Ini dikongsi menerusi bebenang yang menyayat hati oleh Wan Mohamad Nazri Hashim di Twitter menceritakan bagaimana beliau kehilangan ibu kerana tidak ada doktor yang cukup untuk melakukan pembedahan atau rawatan yang diperlukan.

Ibunya, Raja Nahzar Hasnah Raja Mahmud menghidap penyakit batu karang, namun, terpaksa menunggu untuk menjalani pembedahan serta-merta kerana jadual doktor yang penuh.

Wanita itu bertahan hampir sebulan sebelum dibawa ke wad kecemasan sebuah hospital susulan jangkitan kuman dalam darah dan paru-paru.

Sesuatu yang amat menyedihkan apabila ibunya tidak dapat diberikan bantuan ventilator ketika mengalami pernafasan kritikal kerana bekalan kemudahan itu adalah terhad dan digunakan pesakit COVID-19, kata Wan Mohamad Nazri menerusi akaun @_NazriH.

Beliau mengatakan ibunya berada dalam keadaan kritikal, dengan ketiadaan katil yang tersedia di Unit Rawatan Rapi kerana semuanya menempatkan pesakit COVID, dan ibunya diberikan antibiotik dengan harapan pernafasannya menjadi baik.

Selepas hampir dua minggu menunggu, si ibu meninggal dunia pada usia 68 tahun.

Ini antara kisah-kisah duka dan menyayat hati masyarakat dalam mengharungi apa juga situasi pandemik.

Dalam persekitaran sekatan pergerakan terkini, akan wujud gesaan supaya bantuan dan sokongan dapat diberikan.

Tidak dinafikan, satu keputusan perluasan amat diperlukan ketika ini dan kerajaan bersedia untuk memperkukuh lagi sistem penjagaan kesihatan dan membantu kumpulan rentan.

Namun, perlu juga diingatkan pakej rangsangan, bantuan kewangan serta moratorium menyeluruh bukanlah penyelesaian yang bersifat mampan — ia hanya boleh menjadi langkah sementara sebelum situasi pandemik dapat dikawal.

Kesimpulannya, sekatan pergerakan dikuatkuasakan untuk memberi masa kepada pelaksanaan strategi penyelesaian dan mengurangkan tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan negara yang kini menguruskan 72,823 kes aktif.

Selain itu, mereka yang diberikan vaksin juga tidak imun kepada COVID-19 kerana masih boleh dijangkiti jika tidak berhati-hati.

Vaksin membantu membina sistem imun dan melawan virus, tetapi ia bukan tiket untuk bebas pelitup muka sepenuhnya dan menghadiri perjumpaan sosial.

Imuniti kelompok pula hanya menjadi sebuah impian sahaja, melainkan atau sehingga 70 peratus penduduk negara ini daripada lebih 30 juta orang mendapat suntikan vaksin.

Justeru, tanpa mengambil kira berapa bilion ringgit yang kerajaan salurkan kepada ekonomi atau pelbagai inisiatif yang dilaksanakan, tanggungjawab itu kini hanya terletak kepada kita semua untuk tidak mengambil mudah pandemik.

Dalam pertempuran ini, nyawa kita semua dipertaruhkan.

Virus tidak bergerak, yang bergerak ialah manusia, yang berhimpun juga manusia, virus tidak berhimpun. Jadi kekal berada di rumah, dan hanya keluar jika terdapat keperluan penting.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here