KUALA LUMPUR, 31 Mei — Sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Tambahan) yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini.

Beliau berkata RM450 juta diperuntukkan bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan COVID-19, bukan sahaja di hospital seliaan Kementerian Kesihatan tetapi juga Hospital pengajar Universiti Awam seperti UiTM, UPM dan UKM serta melalui hospital medan ATM  seperti di Sabah dan Sarawak.

Sebanyak RM550 juta lagi diperuntukkan untuk menampung pertambahan kos operasi dan pengurusan dalam menangani krisis kesihatan COVID-19 termasuk ubat, reagen untuk saringan serta lantikan pegawai secara kontrak, kata beliau dalam perutusan khas Bantuan PKP 3.0 yang disiarkan menerusi televisyen dan radio malam ini.

Perdana menteri turut mengumumkan lanjutan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada sehingga 2022.

Sebagai tambahan, kerajaan juga akan melantik semula lebih 500 petugas kesihatan yang bersara wajib tahun ini secara kontrak, katanya.

Mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, perdana menteri berkata menjelang akhir Jun, negara mampu mencapai sasaran 150,000 dos sehari melalui penambahan terimaan vaksin daripada syarikat pengeluar.

Pencapaian sasaran itu juga katanya, selaras dengan penambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), memperkenalkan kaedah pemberian secara pandu lalu dan penambahan anggota sukarelawan.

“Saya juga mendengar keluhan rakyat, terutamanya warga emas dan mereka yang tinggal jauh yang mengalami kesukaran untuk hadir ke PPV (untuk suntikan vaksin).

“Oleh itu, saya telah mengarahkan supaya aset-aset kerajaan seperti bas, van dan kenderaan pool digerakkan bagi tujuan ini,” katanya yang amat mengalu-alukan kerjasama pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat awam untuk turut menggiatkan usaha itu.

Muhyiddin berkata berdasarkan unjuran, pelaksanaan program imunisasi itu secara keseluruhan disasarkan selesai menjelang Disember 2021 dengan negeri berkepadatan penduduk tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang menjelang Oktober.

Beliau turut merayu rakyat yang telah mendapat tempahan vaksin agar hadir di mana-mana pusat pemberian vaksin yang ditetapkan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan negara mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini,” katanya   

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here