SUNGAI PETANI, 2 Jun — Kerajaan Negeri Kedah akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan pusat agar lebih banyak klinik dan pusat kesihatan swasta diberikan kelulusan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mempercepatkan proses vaksinasi di negeri ini.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata langkah itu juga bagi meringankan beban petugas kesihatan di PPV Kementerian Kesihatan sedia ada, yang ketika ini beroperasi pada tahap maksimum terutama di kawasan berkependudukan tinggi seperti di Daerah Kota Setar dan Kuala Muda.

“(Contohnya) di Kuala Muda, penduduk yang perlu divaksin seramai 325,000 orang dan sekiranya kita tidak ada penambahan pusat pemberian vaksin, kita akan mengambil masa 7.25 bulan untuk selesaikan vaksinasi di Kuala Muda.

“Justeru, PPV di sini telah meningkatkan kapasiti suntikan daripada 600 kepada 1,000 penerima dan klinik-klinik kesihatan kerajaan juga telah dijadikan pusat suntikan, bagaimanapun kapasitinya cuma 200 sehari dan beroperasi tiga hari seminggu,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPV Dewan Kenangan Majlis Perbandaran Sungai Petani di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata penglibatan pihak swasta sebagai PPV masih kurang ketika ini di negeri ini dengan terdapat lima klinik diluluskan untuk tujuan itu dan setiap satunya hanya berupaya memberikan suntikan kepada kira-kira 30 penerima vaksin setiap hari.

Justeru beliau berharap Kementerian Kesihatan membenarkan pihaknya berurusan dengan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) iaitu badan pelaksana pembabitan pengamal perubatan swasta dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk meningkatkan penyertaan mereka di negeri ini.

“Kita mohon supaya permintaan-permintaan untuk memberi tumpuan kepada daerah-daerah besar di Kedah ini diberi perhatian oleh Kementerian Kesihatan dan juga MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi), kita kerajaan negeri akan membantu apa yang boleh sedaya upaya kita,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here