IPOH, 2 Jun –Tidak menerima panggilan dan masalah pengangkutan antara punca yang menyebabkan kira-kira 9,000 penduduk di Perak tidak hadir janji temu suntikan vaksin sebelum ini.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata itu punca yang telah dikenal pasti pihaknya yang kini berusaha mencari jalan penyelesaian agar masalah tersebut tidak timbul lagi.

“Kita akan menyusun dan menjemput mana-mana individu yang hadapi masalah ini. Jadi kita akan kenal pasti dahulu (alasan lain) dan akan menyusun kenderaan untuk mengatasi masalah ini dengan kadar segera,” katanya dalam sidang media secara maya selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

Pada 26 Mei lepas, kira-kira 9,000 individu di Perak gagal menghadirkan diri untuk janji temu vaksin dan sebahagian besar daripada mereka berusia 60 tahun ke atas.

Exco Kesihatan Perak Mohd Akmal Kamarudin pula berkata sehingga Jumaat lepas, seramai 237,204 orang di negeri itu telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

Mengulas pemberian vaksin kepada pengamal media, Saarani berkata senarai nama telah diserahkan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Perak Datuk Dr Ding Lay Ming semalam dan beliau memberi jaminan proses penerimaan vaksin itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

Khamis lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata sejumlah 5,867 petugas daripada 114 agensi media berdaftar akan mendapat janji temu suntikan vaksin COVID-19 bermula minggu pertama bulan Jun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here