KUALA LUMPUR, 2 Jun — Pengusaha bas merayu agar syarikat kredit yang memberikan pinjaman atau ansuran sewa beli kepada mereka mempertimbangkan untuk memberi moratorium pinjaman seperti diumumkan kerajaan atau sekurang-kurangnya pengurangan kadar bayaran balik.

Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Zon Utara Ahmad Ruslan Abdul Latiff berkata dalam suasana yang begitu mencabar akibat pandemik COVID-19 ketika ini, usaha untuk membantu rakyat bukan sahaja hanya melibatkan pihak kerajaan, tetapi pihak swasta juga perlu memainkan peranan.

“Dalam industri bas ini kita tahu ada di kalangan pengusaha yang membuat pinjaman dengan syarikat kredit berdaftar dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetapi ada juga pengusaha yang membuat pinjaman atau sewa beli bas mereka dengan syarikat kredit swasta atau yang tidak dikawal selia mana-mana kementerian atau agensi.

“Setakat ini, kita dapat kerjasama yang baik dari syarikat kredit yang berdaftar dengan KPKT ini tetapi masalah timbul apabila syarikat kredit yang tidak berdaftar dengan KPKT ini tidak mahu turut serta dengan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi seperti diumumkan kerajaan kerana mereka memikirkan bahawa mereka juga perlukan sumber kewangan untuk kekal beroperasi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Justeru, Mohd Ruslan menyeru agar syarikat kredit yang beroperasi secara sendiri ini dapat mempertimbangkan semula kaedah bayaran balik pinjaman atau sewa beli yang dibuat di kalangan pengusaha bas yang rata-ratanya merupakan pengusaha bas secara kecil-kecilan.

Beliau berkata jika perkara itu tidak menemui jalan penyelesaian, beliau memohon keprihatinan kerajaan untuk mengambil alih pinjaman pengusaha bas ini dari syarikat kredit demi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Hasrat sama turut disuarakan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Sekolah Seremban S. Silverrajoo yang meminta agar sedikit kelonggaran diberikan oleh syarikat kredit memandangkan operasi bas sekolah ketika ini tidak dapat berjalan seperti biasa.

“Kebanyakan pengusaha ketika ini hanya bergantung dengan pendapatan sampingan seperti bekerja di gerai makan, menoreh getah dan membawa teksi…dengan gaji yang tidak menentu bagaimana untuk mereka bayar balik pinjaman atau sewa beli.

“Jadi saya harap syarikat kredit dapat beri kelonggaran seperti menangguhkan bayaran balik atau pengurangan kadar bayaran balik dan kalau boleh janganlah tarik kenderaan mereka kerana itulah yang akan diguna untuk mencari pendapatan selepas keadaan semakin pulih,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bebas Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM), R. Thiagarajan pula mahu agar Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi dapat memanfaatkan pengusaha bas dari golongan B40 hingga T20.

“Kita mahu skim ini menyeluruh, boleh dinikmati oleh semua golongan pengusaha bas dari T20 hingga kepada pengusaha kecil-kecilan dari golongan B40 dengan syarat-syarat yang lebih mudah…sekiranya skim ini tidak dapat memanfaatkan pengusaha bas yang betul-betul terkesan, tidak ada gunanya ia diwujudkan.

“Selain itu, dalam membantu pengusaha bas ini menjana pendapatan, kerajaan boleh pertimbang untuk menggunakan bas mereka untuk membawa orang ramai ke pusat vaksinasi…kenal pasti persatuan bas yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan yang aktif untuk berikan ‘job’ ini,” katanya.

Sementara itu, Majlis Piawaian dan Pemodenan Industri Memandu Malaysia (MAPIM) memohon bantuan segera pihak kerajaan kepada institut memandu melalui skim yang sedia ada dalam Program Strategik Memperkasakan Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) Tambahan, susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh di seluruh negara. 

Presiden MAPIM Datuk Hanafi Mat Zin berkata sehingga kini, tiada bantuan yang diumumkan kepada institut memandu, sedangkan operasi mereka juga sama seperti syarikat bas, teksi, kereta sewa dan e-hailing.

“Industri memandu sama seperti syarikat perniagaan kenderaan yang lain, kami membeli kenderaan menggunakan pinjaman bank dan kami layak mendapat bantuan seperti industri lain,” katanya.

Isnin lepas, kerajaan melalui PEMERKASA Tambahan bersetuju memberi bantuan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi bernilai RM1 bilion yang merupakan moratorium pinjaman selama 12 bulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here