KUALA LUMPUR, 11 Jun  — Yayasan Hasanah (YH), sebuah entiti Khazanah Nasional Bhd, terus menyampaikan beberapa inisiatif respons COVID-19 oleh kerajaan pada 2021 termasuk RM150 juta untuk CERDIK, RM25 juta untuk Geran Khas Hasanah kedua dan RM100 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA). 

CERDIK adalah inisiatif rintis yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, bertujuan membantu para pelajar menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu pelajaran dalam talian, e-pembelajaran dan pengajaran luar bilik darjah.

Pengarah Urusannya, Shahira Ahmed Bazari berkata yayasan itu bertindak pantas dalam memberikan dana tanpa had kepada semua rakan pelaksana untuk membolehkan mereka beroperasi dengan selamat dan membantu untuk menanggung kos overhed termasuk gaji atau memastikan operasi mereka berjalan lancar.

“Untuk pertama kalinya, kami memberikan sejumlah dana tanpa had kepada 39 rakan kongsi YH untuk membantu mereka menghadapi tekanan akibat pandemik tersebut.

“Kami berbesar hati kerana banyak rakan kongsi kami mengagihkan semula dana antara benefisiari mereka untuk membantu meneruskan kelangsungan kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Yayasan itu menjalankan tinjauan pada tahun 2020 mengenai “Kesan COVID-19 terhadap Organisasi Masyarakat Sivil” yang membawa perjuangan baharu yang dihadapi oleh sektor ini, membantunya memahami dengan lebih mendalam bagaimana untuk menyokong rakan-rakan pelaksanaannya.

Sementara itu, menurut Laporan Hasanah 2020: “A New World of Silver Linings and Embracing Change”, yang dikeluarkan hari ini menyatakan bahawa lebih daripada 80 peratus projek yang diselaraskan oleh Yayasan Hasanah pada tahun 2020 adalah berkaitan dengan pandemik.

Shahira berkata mereka bertindak balas dengan inisiatif kelangsungan kehidupan untuk membantu ramai usahawan mikro untuk memusatkan kepada jualan dalam talian, inisiatif pendidikan untuk menyokong guru, pelajar dan ibu bapa melalui pengajaran dan pembelajaran hibrid serta bantuan kewangan dan perkhidmatan kesihatan termasuk peralatan berkaitan kebersihan, makanan untuk golongan penduduk miskin di bandar dan luar bandar, orang berkeperluan khas dan orang asli.

Dalam tempoh tersebut, Yayasan Hasanah memperluas rangkaiannya untuk memasukkan 253 organisasi rakan kongsi dan menggerakkan lebih daripada lima kali projek berbanding tahun 2019.

“Yayasan ini juga melipatgandakan usaha pencapaiannya untuk lebih daripada 322,000 rakyat Malaysia pada tahun lalu melalui pelbagai inisiatif kemanusiaan dan bantuan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here