KUALA LUMPUR, 18 Jun  — Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat supaya terus berjuang dan tidak berasa lemah semangat dalam menghadapi dugaan serta cabaran ketika ini.

Menurutnya, perjuangan dalam melawan pandemik COVID-19 memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak dan beliau yakin negara akan keluar daripada wabak tersebut tidak lama lagi.

“Pastinya doa kita ini akan meningkatkan lagi dan memperkuat semangat juang kita. Jangan kita rasa lemah semangat, jangan kita berasa mahu berundur atau tunduk kepada apa-apa cabaran berat yang sedang dihadapi oleh negara kita. Pastinya ini memerlukan kerjasama, sokongan dan bantuan sesama kita.

“Perjuangan atau peperangan besar seperti ini tidak mungkin berjaya tanpa ada pengorbanan yang besar daripada kita semua. Pelan Pemulihan Negara yang telah pun saya bentangkan adalah harapan baharu yang ada, dan inilah yang akan kita usahakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menzahirkan rasa bangga terhadap kecekalan dan semangat juang yang tinggi rakyat Malaysia, khususnya petugas barisan hadapan, dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Tan Sri Muhyiddin berkata demikian pada Program Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berselawat Bersama Perdana Menteri dan Rakyat yang diadakan secara maya bagi memohon kesejahteraan warga di PKRC serta seluruh rakyat yang kini berjuang melawan pandemik Covid-19.           

Bacaan selawat dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra Ikmal Zaidi Mohd Hashim bersama dua qari Ahmad Tarmizi Ali dan Amir Rahman Abbas di Kompleks Islam Putrajaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here