KUALA LUMPUR, 20 Jun — Semua pemegang jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Jawatankuasa Cabang PKR bagi sesi 2018-2021 dikekalkan sehingga pemilihan parti kelak, adalah antara dua usul yang diluluskan dalam Kongres Nasional Tahunan PKR 2020 hari ini.

Satu lagi usul yang diluluskan perwakilan kongres itu ialah, pemilihan parti yang sepatutnya diadakan pada November ini, ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan oleh MPP tidak lewat dari Mei 2023.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang membentangkan usul MPP itu berkata, dalam perlembagaan parti, Perkara 47.1 disebut bahawa MPP boleh mengawalkan atau menangguhkan pemilhan parti, tetapi tidak melebihi 18 bulan.

“Dengan menggunakan fasal ini, MPP pada 28 Feb lepas membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti 2021 ke satu tarikh yang akan diputuskan kemudian,” katanya.

Beliau menjelaskan penggal jawatan adalah hanya tiga tahun dan semua jawatan yang dipilih pada November 2018, sepatutnya berakhir pada November tahun ini.

Kedua-dua usul tersebut kemudian diluluskan sebulat suara oleh perwakilan kongres berkenaan.

Seramai kira-kira 2,000 perwakilan menyertai kongres itu secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom, bermula dari pukul 8.00 pagi ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here