KUALA LUMPUR, 20 Jun — Kerajaan kekal komited dalam mencari pelbagai cara dan mekanisme yang berkesan untuk membantu golongan yang terjejas disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sepanjang krisis COVID-19, kerajaan terus menyalurkan bantuan tunai secara langsung kepada golongan terjejas.

“Setakat ini, masih berbaki sejumlah RM8.1 bilion yang bakal disalurkan sehingga hujung tahun ini (Jun-Disember). Ini termasuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) berjumlah RM4.5 bilion dan bantuan bulanan kebajikan masyarakat sebanyak RM1.25 bilion.

”Jumlah besar bantuan tunai secara langsung kepada rakyat melibatkan peruntukan sebanyak RM16.7 bilion untuk keseluruhan tahun ini. Pelbagai bantuan masih dalam proses pelaksanaan,” katanya pada sidang media secara maya hari ini. 

Beliau menambah inisiatif baharu kerajaan turut mendapat sambutan yang baik seperti Program Jaringan Prihatin yang dilancarkan pada Mei dengan setakat ini, sejumlah 1.7 juta permohonan diluluskan termasuk lebih 500,000 pemohon telah mendapat telefon bimbit baharu.

Selain itu, Program e-Belia yang dilancarkan pada Jun telah memanfaatkan 1.9 juta belia setakat ini melalui kredit e-dompet bernilai RM150.

“Kerajaan juga sentiasa komited untuk memastikan kelangsungan perniagaan dalam menangani COVID-19. Kerajaan memberi bantuan tunai kepada sektor perniagaan untuk tahun 2021 dengan peruntukan kira-kira RM14.1 bilion.

“Bantuan ini belum berakhir. Sebanyak satu juta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro akan menerima Geran Khas Prihatin (GKP) pada hujung bulan ini dan Julai,” kata beliau.

Tengku Zafrul berkata peruntukan Program Subsidi Upah pula masih berbaki sebanyak RM6 bilion untuk disalurkan oleh kerajaan bagi menjamin bayaran gaji kepada 2.7 juta pekerja.

Sementara itu, selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara beransur-ansur, menteri kewangan itu berkata tumpuan juga akan diberi kepada program pinjaman mikro untuk PKS kecil memulakan semula perniagaan mereka.

Tengku Zafrul berkata subsidi bagi bantuan tidak langsung pula mencecah RM15 bilion bagi tahun ini, berbanding perbelanjaan sebanyak RM9 bilion pada 2020.

Dalam pada itu, dengan kenaikan harga minyak global, beliau berkata kerajaan turut memastikan impak kenaikan kos sara hidup rakyat dihadkan.

“Antara inisiatif kerajaan adalah menetapkan harga siling runcit RON95 pada RM2.05 seliter serta subsidi satu pek 1 kilogram minyak masak pada harga RM2.50. Bagi tempoh Jan-Mei, kerajaan telah menanggung perbelanjaan berjumlah RM4 bilion dari segi peruntukan subsidi untuk tahun ini,” jelas beliau.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan kini mengambil pendekatan moratorium bersasar dengan memastikan semua yang terkesan dengan pandemik itu mendapat bantuan yang diperlukan.

Menyentuh mengenai tinjauan ekonomi negara, Tengku Zafrul berkata pertumbuhan ekonomi akan berada dalam zon positif berbanding pertumbuhan negatif yang dicatatkan tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here