KUALA LUMPUR, 20 Jun  — Fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan dilaksanakan setelah negara mencapai nilai-nilai ambang ditetapkan, masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat dengan aktiviti sosial kekal ditutup dan sekatan pergerakan sepertimana fasa pertama.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perbezaan utama antara fasa pertama dan kedua adalah dari segi kebenaran peningkatan kapasiti fizikal daripada 60 peratus kepada 80 peratus meliputi sektor dibenarkan selain penambahan beberapa sektor dalam senarai positif yang boleh beroperasi.

Bercakap pada sidang media secara maya hari ini, beliau berkata nilai ambang yang ditetapkan sebelum memasuki fasa kedua adalah penurunan kes harian COVID-19 di bawah 4,000, tahap penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) tidak lagi di tahap kritikal selain pencapaian 10 peratus penduduk mendapat vaksinasi (lengkap) kedua-dua dos.

“Fasa ketiga pula melibatkan usaha vaksinasi dua dos mencapai kadar 40 peratus, penggunaan ICU di tahap selamat manakala kes harian COVID-19 di bawah angka 2,000. Ini akan melibatkan perubahan pendekatan daripada senarai positif meliputi aktiviti dibenarkan kepada senarai negatif aktiviti tidak dibenarkan,” katanya.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata aktiviti sosial dijangka dibuka secara beransur-ansur, termasuk pembukaan sesi persekolahan selain kebenaran melawat atau ziarah rumah secara terhad.

Menurutnya, peralihan daripada fasa ketiga ke fasa keempat yang juga terakhir, akan melibatkan pembukaan menyeluruh aktiviti sosial dan ekonomi setelah negara mencapai tahap kadar vaksinasi lengkap sebanyak 60 peratus.

“Namun demikian, pembukaan tersebut masih tertakluk kepada SOP (Prosedur Operasi Standard) ketat serta penjarakan sosial,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, pendekatan senarai positif di bawah PKP ketat itu menetapkan hanya sektor perlu seperti pembuat makanan tertentu dibenarkan beroperasi berbanding sektor lain yang tidak boleh beroperasi.

“Pendekatan senarai negatif pula lebih terbuka selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi (lengkap) 40 peratus. Di bawah pendekatan ini, semua sektor dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti dalam senarai negatif yang melibatkan risiko tinggi terhadap jangkitan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here