MELAKA, 25 Jun — Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Melaka hari ini menyampaikan 200 bakul makanan bernilai RM10,000 kepada petugas barisan hadapan pemvaksin di tiga pusat pemberian vaksin di Daerah Melaka Tengah.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata sumbangan berupa makanan asas antaranya beras, gula, tepung dan minyak bernilai RM50 setiap bakul itu diagihkan untuk petugas barisan hadapan di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek, PPV Dewan Tun Ali dan PPV Dewan Universiti Multimedia di sini.

“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada Program MAFI Prihatin yang bertujuan mengenang jasa serta pengorbanan petugas barisan hadapan negara khususnya di PPV yang tidak mengenal erti penat lelah memberi perkhidmatan terbaik demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat dalam mengharungi cabaran penularan COVID-19.

Program ini juga bertujuan mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat khususnya petugas barisan hadapan sekali gus dapat mempamerkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan yang terkesan dengan penularan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sumbangan bakul makanan berkenaan disampaikan Ahmad Hamzah kepada tiga ketua penyelaras PPV berkenaan dan turut dihadiri Pengarah LPP Melaka Ahmad Fuad Zakaria.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here