KUALA LUMPUR, 26 Jun — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyediakan satu kerangka secara holistik berhubung Pelan Pemulihan Pelancongan selari dengan Pelan Pemulihan Negara yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Menurut kenyataan MOTAC hari ini, tiga fasa digariskan dalam pelan itu bagi membantu kerajaan mempercepat program vaksinasi di seluruh negara dan seterusnya dapat menjayakan Program COVID-19 Free Destination.

Menurut MOTAC, di bawah fasa pertama, Langkawi dipilih sebagai destinasi rintis bagi program tersebut dan untuk itu, kerajaan bersetuju meningkatkan kapasiti pemvaksinan penduduk Pulau Langkawi serta menjadikan Kompleks Kraf Langkawi sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) awam tambahan mulai pertengahan Julai ini.

Selain Langkawi,  Kuching turut dicadang sebagai destinasi rintis program itu, bertepatan dengan lokasinya yang menjadi tumpuan kemasukan pelancong dari dalam mahupun luar negara.

“MOTAC juga menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Sarawak dalam usaha mengangkat bandar raya Kuching sebagai satu daripada jaringan bandar raya kreatif di peringkat Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan ASEAN di bawah kategori Gastronomi dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Bagi fasa kedua pula, program diperluas ke pulau-pulau peranginan yang menjadi tumpuan utama pelancong antaranya Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Pangkor dan Pulau Tioman.

Menurut MOTAC, fasa ketiga pula melibatkan sesi libat urus antara kementerian itu dan semua kerajaan negeri berhubung penentuan destinasi pelancongan utama yang menjadi tarikan pelancong untuk diketengahkan sebagai lokasi yang akan diberikan perhatian dalam fasa ketiga.

“Kerjasama juga termasuk penggunaan fasiliti bersesuaian yang dapat digemblengkan untuk dijadikan pusat PPV,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, MOTAC  mengambil inisiatif dengan kerjasama MOSTI dan Persatuan Pemuzik dan Buskers untuk persembahan pemuzik atau buskers di PPV awam yang dijadualkan dilaksana dari 8 Julai hingga 31 Dis bermula di dua PPV mega iaitu Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Kenyataan turut memetik Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri sebagai berkata pelan itu serta inisiatif yang diambil kementerian berkenaan boleh menjadi pemangkin buat industri pelancongan dan budaya untuk kembali bangkit, seterusnya membantu negara dalam mempercepat fasa pemulihan ekonomi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here