KOTA BHARU, 28 Jun — Polis telah memanggil pemilik sebuah kafe di Kalai, Jeli, kira-kira 108 kilometer dari sini, bagi membantu siasatan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Kawalan Pergerakan di dalam Pelan Pemulihan Negara.

Ketua Polis Daerah Jeli DSP Ahmad Arifin berkata pemilik kafe itu telah hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, petang semalam, sebaik menerima gambar tular yang menunjukkan kehadiran Mustapa di dalam kafe itu.

“Selain pemilik kafe tersebut, polis akan turut memanggil tiga lagi individu (termasuk Mustapa) dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli memohon maaf atas pelanggaran SOP itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, pemilik AlFath Cafe Abdul Syafizi Sallah, 26, ketika dihubungi menjelaskan Mustapa datang ke premisnya bertujuan melihat bagaimana dia berjaya menggunakan sepenuhnya media sosial dalam perniagaannya. 

Abdul Syafizi berkata beliau adalah usahawan MyDigital di Jeli yang menerima bimbingan sejak hujung tahun lepas dengan kaedah terbaik untuk menjalankan serta memasarkan menu kafenya dalam tempoh pandemik COVID-19.

“Sebagai usahawan MyDigital, Datuk Seri Mustapa Mohamed datang ke kafe saya Sabtu lepas untuk melihat kejayaan program yang telah membantu perniagaan saya. Beliau sangat tertarik melihat jualan kafe saya agak baik berbanding peserta lain.

“Berkenaan makanan yang dihidangkan, itu sebenarnya persembahan menu yang ada di kafe tersebut, saya tunjukkan apa yang saya jual di kafe itu kepada beliau. Beliau sendiri hanya berada di kafe kira-kira 10 minit sebelum beredar,” katanya.

Abdul Syafizi turut menjelaskan dalam tempoh Fasa 1 Kawalan Pergerakan di dalam Pelan Pemulihan Negara, kafenya itu dibuka untuk pembelian secara bungkus sahaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here