KUALA LUMPUR, 28 Jun — Lima inisiatif tambahan akan dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan lagi kapasiti dan mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Perdana Menteri berkata menerusi inisiatif pertama, kerajaan memperuntuk sejumlah RM400 juta bagi menambah bekalan vaksin negara, sekali gus menyaksikan jumlah bekalan vaksin yang ditempah cukup untuk menampung 130 peratus populasi rakyat berbanding 120 peratus sebelum ini.

Beliau berkata penambahan bekalan vaksin berkenaan antara lain adalah sebagai stok penimbal tambahan serta bertujuan untuk memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun dengan individu yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini diutamakan.

“Saya juga ingin tegaskan, kerajaan sedang memantau rapat dan membuat kawalan ketat berikutan penularan varian Delta Plus. Ia telah menyebabkan beberapa buah negara kembali mencatatkan peningkatan jangkitan dan terpaksa melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion yang disiarkan oleh beberapa stesen televisyen tempatan dan media sosial hari ini.

Menerusi inisiatif kedua, perdana menteri berkata kerajaan akan membuka 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu, menaik taraf PPV sedia ada, melaksanakan PPV pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home-to-Home, yang membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM200 juta.

Sehingga hari ini, sebanyak 341 PPV dibuka di seluruh negara yang terdiri daripada 320 PPV awam, 13 PPV Mega serta lapan PPV Institusi Pengajian Tinggi (IPT), kata beliau yang turut memberikan beberapa contoh program vaksinasi yang dikunjunginya.

Program itu ialah MyMedic @ Wilayah Mobile Vaccination di Projek Perumahan Rakyat Sri Johor, di ibu negara yang menumpukan warga emas dan gelandangan, program imunisasi Orang Asli di kawasan luar bandar menggunakan unit bas bergerak, beberapa PPV pandu lalu di IPTA dan PPV Orang Kurang Upaya (OKU)- pandu lalu di Ara Damansara, di sini.

Muhyiddin berkata bagi inisiatif ketiga pula, seramai 14,000 petugas barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam PICK akan menerima peningkatan kadar pembayaran elaun khas daripada RM200 kepada RM600 selama enam bulan bermula Julai ini, membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta.

“Peruntukan ini merupakan pengiktirafan berterusan kepada jasa dan sumbangan barisan hadapan kesihatan kita yang masih terus berjuang demi bangsa negara yang tercinta,” katanya.

Bagi inisiatif keempat yang bertujuan menggalakkan pelaksanaan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), Muhyiddin berkata kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi mengurangkan tanggungan syarikat.

Di bawah inisiatif berkenaan, beliau berkata kerajaan bersetuju majikan yang berdaftar di bawah Perbadanan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) boleh menggunakan baki levi semasa sehingga 10 peratus bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin COVID-19 selain memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan PPV oleh majikan.

Beliau berkata potongan cukai ke atas sumbangan COVID-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV dan kesediaan mempertimbangkan kebenaran kepada syarikat untuk beroperasi dengan kapasiti penuh sekiranya semua pekerja telah melengkapkan dua dos vaksin.

Muhyiddin berkata bagi memastikan golongan rentan tidak terkecuali daripada mendapatkan suntikan vaksin, beberapa program di peringkat komuniti juga akan disegerakan di bawah inisiatif kelima.

Beliau berkata antaranya ialah pemberian subsidi sehingga RM30 ke atas kos tambang teksi dan e-hailing untuk golongan OKU dan warga emas bagi memudahkan pergerakan mereka mendapatkan vaksin pada hari janji temu.

“Nilai keseluruhan bagi fokus ketiga iaitu meningkatkan vaksinasi di bawah pakej PEMULIH ini berjumlah RM1 bilion,” kata perdana menteri.

Sementara itu, Muhyiddin berkata statistik sehingga 26 Jun lepas menunjukkan, sejumlah tujuh juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat di negara ini, merangkumi lima juta orang.

“Sebanyak 15.5 peratus telah menerima dos pertama dan hampir 2 juta orang atau 6 peratus telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin. Alhamdulillah, kita juga telah berjaya mengekalkan kadar pemberian vaksin secara purata melebihi 200,000 sehari dalam tempoh tujuh hari lepas.

“Selain itu, seramai 16.3 juta orang telah berdaftar untuk mendapatkan bekalan vaksin setakat ini. Melihat kepada pencapaian ini, kerajaan optimis bahawa segala usaha yang dirancang berada di landasan yang tepat,” katanya.

Beliau menyeru individu yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin agar segera berbuat demikian demi kebaikan bersama memandangkan vaksinasi akan menjadi kunci utama kejayaan negara melawan COVID-19.

“Bagi mereka yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin, segeralah menunaikan kewajipan anda untuk kebaikan kita bersama. Berilah kerjasama penuh dan juga sedikit masa bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, supaya Pelan Pemulihan Negara ini berjaya dilaksanakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here