SEREMBAN, 4 Julai — Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Paroi di sini akan mula beroperasi Isnin, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata pembukaan PPV itu memperluaskan lagi proses pemvaksinan kepada orang awam sekali gus dapat merealisasikan sasaran 20,000 dos vaksin sehari kepada rakyat di negeri ini menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Pada permulaannya, PPV ini akan memberi 900 dos sehari sebelum ditingkatkan ke 1,500 dos, KOMBES Paroi baru sahaja selesai kerja baik pulih dan diserahkan kepada kerajaan negeri baru-baru ini.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif menjadikan fasiliti itu sebagai PPV bagi memastikan lebih ramai anggota masyarakat dapat divaksin,” katanya menerusi catatan di Facebooknya malam ini.

Dalam pada itu, beliau berkata PPV industri melalui Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di D’Tempat Country Club, Sendayan juga akan turut beroperasi Isnin bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada pekerja industri dengan kapasiti 1,500 dos sehari.

Aminuddin berkata penubuhan PPV PIKAS itu mampu mengurangkan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan sektor perindustrian untuk memastikan pemulihan ekonomi dapat dilaksana dengan berskala penuh. 

Pada 22 Jun lepas, Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berkata selain D’Tempat Country Club, sebuah lagi PPV industri bakal dibuka di negeri ini iaitu di Pusat Perniagaan Cattleya Senawang yang membabitkan 46 kilang dengan keseluruhan 15,000 pekerja menerusi PIKAS COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here