KUALA LUMPUR, 7 Julai —  Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang dilantik sebagai Menteri Kanan mengetuai Kluster Keselamatan, hari ini bertekad menggalas tanggungjawab itu dengan sebaiknya kerana menyedari harapan rakyat yang cukup besar dalam situasi semasa negara.

Hishammudin berkata beliau sedar dalam mendepani pandemik COVID-19, tugas itu bukanlah mudah namun percaya negara mampu keluar daripada krisis tersebut menerusi stabiliti, kesatuan dan kerjasama daripada semua pihak.

Menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan itu, Hishammuddin berkata beliau akan turut membantu pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Percayalah, apa jua jawatan dan kedudukan yang diamanahkan, pendirian saya tetap sama – hanya mahu bekerja demi rakyat dan negara dengan seikhlas hati.

“Saya berdoa semoga Allah SWT meredai ketentuan ini. Amin Ya Rabbal Alamin,” menurut beliau dalam kenyataan di laman Facebooknya.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Kenyataan itu turut mengumumkan pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri Kanan yang mengetuai Kluster Keselamatan dan mengekalkan portfolio beliau sebagai Menteri Luar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here