TANAH MERAH, 14 Julai — Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) telah menghantar 532 petugas pelbagai jawatan ke negeri-negeri yang mengalami peningkatan kes COVID-19 bagi membantu meringankan beban petugas di lokasi berkenaan.

Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata proses penghantaran dilaksanakan sejak 7 Julai lepas ke Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Johor, Sabah, Sarawak serta Labuan.

Dr Zaini berkata penghantaran petugas kesihatan ke negeri-negeri berkenaan dilakukan berikutan kes COVID-19 di Kelantan menunjukkan penurunan dalam tempoh dua minggu ini.

“Esok kita akan menghantar 40 lagi petugas ke Selangor dan Sarawak. Kita juga akan hantar tiga ambulans bagi membantu petugas kesihatan di Selangor.

“Kita sedar bahawa peningkatan (kes) yang berlaku di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak memerlukan bantuan dari negeri lain termasuk Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mobile Vaksin COVID-19 Bas Bomba di Perkarangan Masjid Kusial Bharu, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Zainal Madasin dan Ketua Jajahan Tanah Merah Mohammad Yusoff Hassan.

Program terbabit diadakan selama tiga hari bermula semalam dengan sasaran 600 penerima suntikan vaksin.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata penghantaran petugas kesihatan ke negeri-negeri yang mencatatkan peningkatan kes COVID-19 itu tidak akan menjejaskan tugasan di Kelantan.

“Namun kita masih dalam keadaan berjaga-jaga dengan menyusun kakitangan untuk memaksimumkan jumlah mereka yang bertugas di sini bagi mengawal keadaan. Moga apa yang berlaku di sana dapat diatasi dengan komitmen semua pihak termasuk rakyat sendiri,” katanya.

Sementara itu, Dr Zaini berkata pihaknya berharap anak Kelantan di perantauan menangguhkan terlebih dahulu hasrat untuk pulang ke negeri ini menjelang Hari Raya Aidiladha.

“Kalau kita lihat terutama di Pantai Barat berlaku peningkatan kes tinggi, kami berharap mereka yang ingin balik tangguh dahulu sekiranya tidak ada urusan penting. 

“Kita tidak mahu peningkatan kes di negeri ini. Ia bukan sahaja untuk kebaikan mereka malah untuk keluarga. Kita berharap peningkatan yang pernah dialami di Kelantan sehingga hampir mencapai empat angka tidak berlaku pada masa hadapan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here