PUTRAJAYA, 15 Julai — Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara maya akan diwujudkan dalam masa terdekat bagi menguruskan kes COVID-19 kategori 1 dan 2, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam Datuk Dr Chong Chee Kheong.

Beliau berkata melalui penubuhan CAC ini, pemantauan terhadap pesakit kategori 1 dan 2 yang bergejala ringan dan tidak bergejala akan dibuat secara maya sahaja dan mereka tidak perlu hadir ke mana-mana CAC. 

Menurutnya, Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) terhadap mereka juga akan dibuat melalui aplikasi MySejahtera.

“Kesemua mereka ini perlu berada di rumah masing-masing sepanjang tempoh HSO,” katanya dalam sidang media khas Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Ketika ini, KKM menetapkan pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 dibenarkan menjalani rawatan serta kuarantin di rumah, dengan pemantauan ketat petugas kesihatan.

Beliau yang juga Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley berkata ketika ini, kira-kira 40 peratus pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital mempunyai gejala serius yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehubungan itu, KKM akan meningkatkan kapasiti katil hospital sedia ada termasuk unit rawatan rapi (ICU) di sekitar Lembah Klang bagi menampung pertambahan jumlah pesakit. 

“Untuk katil ICU, kita ada pertambahan 30 katil melalui tiga modular ICU akan diterima tiga lama lagi,” katanya.

Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan bagi memperkukuh kesiapsiagaan sistem kesihatan di Lembah Klang untuk menguruskan pandemik COVID-19.

Sementara itu, Ketua Setiausaha KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata setakat ini, KKM telah melantik 1,190 petugas kesihatan dan lantikan itu diagihkan ke Selangor (611), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya  (281), Negeri Sembulan (205) dan 93 lagi di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau berkata KKM akan membuat penugasan semula petugas tetap dan kontrak bagi memenuhi keperluan sumber manusia di Lembah Klang.

“Setakat ini, KKM juga melaksanakan pelantikan secara kontrak ambilan secara sukarelawan berjumlah sekitar 3,300.

“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana beri kelulusan kepada KKM untuk melantik tanpa birokrasi untuk membantu merawat, membendung penyakit COVID-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here