PASIR MAS, 15 Julai — Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas sebanyak 3,990 botol cecair rokok elektronik atau vape pelbagai perisa bernilai RM399,000 yang ditinggalkan  berhampiran sebuah pangkalan haram di Rantau Panjang, di sini semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata kesemua botol cecair itu ditemukan di dalam kotak-kotak yang dibungkus plastik hitam ketika sepasukan anggota membuat rondaan Op Bersepadu berhampiran pangkalan haram Syed Omar di sini, 8 malam tadi.

Katanya, selepas penemuan berkenaan, anggota PGA7 bersama Angkatan Tenteran Malaysia (ATM) membuat pemerhatian menggunakan dron bagi mengesan sebarang pergerakan di pangkalan haram terbabit.

“Selepas penemuan barangan, pasukan Op Bersepadu telah menunggu beberapa jam di kawasan pangkalan haram namun tiada sesiapa yang muncul menuntutnya.

“Pemeriksaan yang dibuat ke atas kotak-kotak ditemukan itu mendapati ada 3,990 botol cecair vape pelbagai perisa disyaki untuk diseludup ke Thailand melalui laluan tidak diwartakan,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal (Martak) PGA Lubuk Setol, di sini hari ini.

Azhari berkata hasil siasatan mendapati kesemua barangan tersebut dipercayai dikumpulkan di kawasan pangkalan haram Syed Omar sebelum diseludup keluar ke negara jiran.

Difahamkan setiap cecair vape itu berharga RM35 hingga RM50 sebotol dan kemungkinan dijual dengan harga lebih mahal di negara jiran.

Penggunaan vape juga tidak dibenarkan di negara jiran itu namun kerana adanya permintaan di sana menyebabkan ada pihak mencari keuntungan dengan menyeludup cecair vape ke Thailand.

Azhari berkata kesemua barangan rampasan itu diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) Cawangan Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here