KUALA LUMPUR, 20 Julai — Penyertaan bagi Anugerah Media MSOSH 2021 anjuran bersama The Malaysian Society for Occupational Safety & Health (MSOSH) dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) kini dibuka, dengan sejumlah RM15,000 ditawarkan kepada para pemenang anugerah. 

Menurut satu paparan di laman sesawang MPI, tarikh tutup penyertaan pada 15 Sept dan ia terbuka kepada warga Malaysia yang berkhidmat sebagai wartawan atau pengamal media yang bekerja sepenuh masa dan wartawan sambilan.

Penyertaan hanya terbuka untuk karya Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu berkaitan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), dengan penerbitan atau penyiaran karya antara 1 Nov 2020 hingga 10 Sept ini. 

Paparan itu memaklumkan tiga kategori dipertandingkan iaitu media cetak dan portal berita, media penyiaran televisyen dan video dalam talian serta kategori terbaharu, media penyiaran radio dan radio dalam talian.

“Edisi tahun ini peserta dikehendaki menghantar bahan penyertaan secara digital dengan mengisi pautan url pada ruangan pautan bahan penyertaan. Peserta digalakkan menghantar bahan melalui perkhidmatan storan awan seperti Google Drive, OneDrive, Dropbox, WeTransfer, dan lain-lain lagi,” menurut paparan itu.  

Anugerah ini bertujuan mengiktiraf karya-karya kewartawanan mengenai KKP.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here