KUALA LUMPUR, 28 Julai — Malaysia memberi tumpuan kepada usaha mengetengahkan   produk dan jenama tempatan bagi membantu mempercepatkan pemulihan pendapatan usahawan dan komuniti perniagaan dalam industri pelancongan domestik akibat pandemik COVID-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu akan membantu mengimbangi kemerosotan ekonomi ekoran ketiadaan sumbangan asing pada masa ini.

Beliau berkata usaha itu seiring dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Pelancongan dan Budaya oleh kementeriannya yang memberi penekanan kepada pelancongan domestik bagi memastikan perniagaan dan syarikat beroperasi seperti sebelum krisis dan memulihkan aktiviti pekerjaan dengan selamat dan secepat mungkin.

“Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 telah menetapkan tiga pendekatan utama iaitu daya saing, inklusif dan kelestarian sebagai hala tuju strategik untuk mengubah industri pelancongan Malaysia.

“Ini dilakukan dengan memanfaatkan perkongsian antara sektor awam dan swasta, selain menerapkan pendigitalan sebagai pemacu kepada inovasi dan daya saing ke arah pembangunan yang mampan dan inklusif selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG),” katanya dalam semasa pelancaran secara maya Bahagian Makanan dan Minuman Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) hari ini.

Nancy berkata bagi menyokong hala tuju itu, enam strategi transformasi telah digariskan dan satu daripadanya mengorak langkah ke arah pendigitalan yang komprehensif bagi menuju ke arah Pelancongan Pintar dalam menghadapi peluang dan cabaran menjelang revolusi industri keempat (IR 4.0).

“Menjadi harapan saya untuk melihat MRCA memasukkan kursus dan program latihan kemahiran digital yang ditingkatkan dan melatih semula, memandangkan sudah tiba masanya untuk kita mendepani trend baru muncul ini, ke arah pengalaman pelancongan yang selamat dan lancar.

“Ini antara pelbagai cara untuk mendepani industri pelancongan secara bertanggungjawab dalam norma baru termasuk mengintegrasikan kesihatan, keselamatan, kebersihan dan kelestarian ke dalam pendekatan pelancongan dengan operasi tanpa sentuhan digital adalah perkara yang ‘terkini’  sekarang, ” katanya.

Sementara itu, Nancy berkata pelancaran Bahagian Makanan dan Minuman MRCA adalah tepat pada masanya dan selari dengan satu daripada strategi MOTAC untuk meningkatkan pengalaman pelancongan yang unik, berbeza dan tidak dapat dilupakan.

Sehubungan itu katanya, adalah penting untuk meningkatkan nilai perkhidmatan dan barangan yang disediakan untuk pelancong memandangkan permintaan pelancong sekarang semakin khusus, mengikut kesesuaian dan kesediaan untuk berbelanja bagi mendapatkan pengalaman yang berbeza.

“Oleh itu, adalah penting bagi kita membangunkan produk yang menarik, misalnya mengintegrasikan tempat-tempat tarikan dengan budaya, masakan, seni dan nilai warisan kita. Ini penting dalam menarik pelancong untuk tinggal lebih lama dan menghabiskan lebih banyak masa di beberapa destinasi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here