KUALA NERUS, 31 Julai — Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) warga emas berasa terharu dengan komitmen ditunjukkan petugas kesihatan yang sanggup datang ke rumahnya, untuk memberikan suntikan dos pertama vaksin COVID-19 semalam.

Mat Soh Mat San, 62, yang kudung kaki kanan akibat dipotong pada April lalu kerana jangkitan kuman berkata, beliau menerima janji temu vaksinasi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu bulan lepas, namun tidak dapat hadir kerana kekangan fizikal.

“Sehari sebelum terima janji temu itu saya baru sahaja pulang dari HSNZ untuk pemeriksaan kesihatan, jadi saya tidak berupaya lagi pergi semula ke HSNZ untuk vaksin, kerana rasa sangat letih.

“Semalam (Khamis) saya dihubungi petugas kesihatan yang memberitahu mereka boleh datang ke rumah untuk vaksin, jadi saya pun tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Baru Pulau Redang, di sini lewat petang semalam.

Mat Soh merupakan seorang daripada 10 penduduk Pulau Redang, yang menerima dos pertama vaksin Pfizer di kediaman masing-masing ekoran kekangan fizikal.

Bapa kepada lapan orang anak itu bersyukur kerana penantiannya selama ini untuk divaksin menjadi kenyataan dan tidak sabar melihat Pulau Redang kembali meriah dengan kehadiran pelancong.

Seorang lagi warga emas Muhammad Teh Hassan, 81, yang mengalami penyakit saraf dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat, berasa gembira menerima vaksin di rumahnya kerana tidak perlu bersusah payah untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

“Terharu pak cik rasa kerana mereka (petugas kesihatan) sanggup datang ke rumah. Sudahlah mereka bersusah payah bawa vaksin ke pulau ini dari tanah besar, selepas itu mereka datang pula ke rumah pak cik. Kalau tidak, agak susah untuk pak cik pergi ke PPV,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Nerus Ahmad Faris Abdul Razak berkata, seramai 753 penduduk Pulau Redang menerima dos pertama vaksin COVID-19 semalam melalui program PPV Outreach di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, manakala 517 penggiat pelancongan di pulau tersebut akan divaksin hari ini.

Beliau berkata, PPV Outreach Pulau Redang merupakan anjuran kerajaan negeri menerusi Pejabat Daerah Kuala Nerus, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here