KUALA LUMPUR, 5 Ogos — Maybank Islamic Bhd telah memperkenalkan penyelesaian digital kepada pelanggan yang ingin membuka akaun baharu Zest-i melalui platform Maybank2U.

Dalam satu kenyataan, Maybank Islamic berkata bank terus komited dalam menambah baik mutu dan capaian perkhidmatan perbankan kepada para pelanggan seiring dengan perkembangan digital dan bagi mengurangkan interaksi bersemuka di seluruh kaunter cawangan Maybank berikutan penularan COVID-19 yang amat membimbangkan pada masa ini.

Proses pembukaan akaun Zest-i melalui Maybank2u ini lebih mudah, pantas dan lancar selaras dengan misi Kumpulan Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan dengan menjadikan kemudahan perbankan dapat diakses oleh semua pelanggan.

Akaun Zest-i terbuka untuk semua pelanggan baharu dan sedia ada Maybank Islamic termasuk pemegang Akaun Individu, Akaun Bersama dan Akaun Amanah dan warga asing yang mempunyai pas bekerja atau pelajar yang sah turut layak memohon.

Ia juga merupakan akaun pelaburan yang pertama seumpamanya ditawarkan dalam Kumpulan Maybank ini bertujuan untuk memberikan manfaat yang lebih baik dan nilai unik kepada pelanggan.

Akaun pelaburan patuh syariah ini mempunyai ciri istimewa cabutan hadiah sepanjang tahun dengan memberi peluang kepada pelanggan untuk memenangi hadiah-hadiah menarik dengan nilai keseluruhan hampir RM2 juta.

Untuk mengambil bahagian, pelanggan perlu membuka akaun pelaburan Zest-i secara dalam talian dengan nilai minimum sebanyak RM50.

“Pelaburan seterusnya adalah minimum RM200 untuk kelayakan mereka memenangi hadiah bulanan, RM300 untuk hadiah suku tahunan dan RM400 untuk hadiah setengah tahun serta RM500 untuk cabutan hadiah utama,” katanya.

Tawaran hadiah ini menggunakan mekanisma cabutan bertuah berdasarkan jumlah penyertaan yang diperoleh di bawah empat kategori tersebut, justeru, semakin ramai pelanggan melabur, semakin tinggi peluang mereka untuk memenangi hadiah menarik, tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here