KOTA BHARU, 5 Ogos — PAS berpendirian kecelaruan politik di Malaysia ketika ini jika dibiarkan berlarutan boleh mengganggu usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani pandemik COVID-19, kata Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Justeru, katanya, PAS yang tetap menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berpandangan setiap ahli politik sepatutnya memberi perhatian kepada masalah bencana wabak dan isu ekonomi yang sedang melanda negara.

Beliau berkata usul hilang kepercayaan terhadap perdana menteri boleh dikemukakan pada persidangan Parlimen, September ini.

“Namun, masalahnya nanti apa akan terjadi selepas itu? Seandainya berlaku hilang kepercayaan atau tidak sokong (Muhyiddin), maka tidak ada pihak pun akan dapat majoriti kalau sekiranya mahu melantik orang lain sebagai perdana menteri.

“Pilihan Raya Umum (PRU15) pun semakin hampir, oleh itu, tidak padan kalau kita nak tukar perdana menteri dalam masa beberapa bulan sahaja. Keutamaan sekarang adalah beri perhatian kepada isu yang sedang melanda negara,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Kolej Wadi Sofia, di sini hari ini.

Muhyiddin dalam perutusan khas semalam, berkata beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen dengan membenarkan suatu usul undi percaya kepadanya dibentangkan di Dewan Rakyat pada September.

Sementara itu, ditanya mengenai keputusan UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN, Tuan Ibrahim mengakui PAS berasa dukacita berhubung perkara itu.

“Sebelum ini, UMNO bersama-sama membentuk kerajaan PN dan kita letak sasaran bahawa kerajaan ini akan bertahan sehingga Parlimen dibubarkan (secara rasmi). Bagaimanapun, PAS menghormati pendirian UMNO,” katanya yang berpendapat kerajaan PN adalah yang terbaik ketika ini.

Pada Selasa lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pendirian Majlis Tertinggi UMNO untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here