KUALA BESUT, 6 Ogos — Kerajaan negeri Terengganu berharap agar aktiviti merentas daerah akan dibenarkan di Terengganu pada September, bagi menghidupkan semula industri pelancongan terutama di pulau-pulau peranginan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata, perkara itu penting bagi memberi peluang kepada pengusaha pelancongan di kesemua empat pulau peranginan di Terengganu iaitu Pulau Perhentian, Redang, Kapas dan Tenggol, beroleh pendapatan memandangkan kebiasaannya mereka tidak beroperasi pada hujung tahun kerana musim tengkujuh.

“Kami akan bincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Majlis Keselamatan Negara dan Majlis Keselamatan Negeri Terengganu, supaya paling tidak pun merentas daerah dibenarkan.

“Sebagaimana tahun lepas sebaik sahaja dibenarkan merentas daerah, ramai orang berpusu-pusu masuk ke pulau-pulau,” katanya selepas memantau Program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan Pulau Perhentian, di Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian, di Pulau Perhentian sini hari ini.

Dalam pada itu Ariffin berkata, kerajaan negeri menjangkakan Terengganu berupaya beralih dari Fasa Dua ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada penghujung bulan ini, berdasarkan indikator peralihan fasa yang diputuskan kerajaan persekutuan.

“Antara syarat yang dikemukakan ialah kadar vaksinasi mencapai 40 peratus penduduk dan unit rawatan rapi (ICU) di hospital mencukupi.

“Bilangan penduduk Terengganu yang sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 kini 27 peratus dan kita jangka awal bulan Ogos lebih 40 peratus penduduk menerima vaksin dos pertama. Jadi kita yakin tidak ada masalah untuk beralih ke fasa seterusnya,” katanya.

Beliau berkata peralihan fasa itu juga diyakini dapat merancakkan semula industri pelancongan negeri ini.

Sementara itu Ariffin berkata, kerajaan negeri menyasarkan 100 peratus penduduk pulau di Terengganu selesai divaksin dan mencapai imuniti kelompok di pulau-pulau, seawal September ini.

Terdahulu, seramai 672 penduduk dan 279 penggiat pelancongan membabitkan 28 hotel dan resort di Pulau Perhentian, menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada program dua hari bermula semalam itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here